'Asean perlu tindak balas terhadap keganasan serantau’
Bekas Perdana Menteri,Tun Abdullah Ahmad Badawi menggesa negara-negara anggota Asean suapaya bertindak balas menentang keganasan.
Katanya, ini lebih-lebih lagi dengan pencerobohan Sabah dan penculikan rakyat Malaysia oleh kumpulan Abu Sayyaf yang kemudian memengal kepala tebusan.
"Mereka mesti (bertindak balas mengenai kejadian ini). Itu sahaja saya boleh katakan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutup Sidang Kemuncak Belia Asean 2015 (AYLS 2015) di Kuala Lumpur.
Ketika ditanya cadangan beliau, Abdullah, yang juga adalah Menteri Luar daripada 1991 hingga 1999 dan Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, berkata, "kita akan lihat esok"
Sidang Kemuncak Asean yang sedang berlangsung dari 18 hingga 22 November dijangka membincangkan hala tuju masa depan, keadaan keselamatan, politik dan ekonomi Asean.
Keselamatan di Laut China Selatan dan keganasan juga dijangka menjadi tumpuan sidang kemuncak itu.
Abdullah berkata konflik atau pertikaian yang berlaku melibatkan negara-negara anggota Asean perlu diselesaikan segera dan secara bersama.
Katanya, usaha itu perlu bagi memastikan komuniti Asean terus relevan dalam memperjuangkan isu-isu serantau.
“Setiap perkara yang berlaku ketika ini tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada negara-negara anggota Asean.
“Kita perlu bersedia dan kuat bagi mengatasi segala kemungkinan ini,” katanya.

