Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan menggesa penduduk Sarawak supaya memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam pilihan raya negeri yang dijangka diadakan sebelum Jun tahun depan.

"Adenan telahpun mengikrarkan komitmen beliau kepada pembangunan luar bandar yang lebih mantap. Beliau telahpun membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang adil bagi semua kaum.

"Beliau turut membuat banyak keputusan penting dalam menyelesaikan aduan rakyat dan semestinyalah akan melakukan lebih banyak lagi serta berhak mendapat sokongan berterusan kita," kata Mawan, yang juga menteri pembangunan sosial Sarawak.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat dari Kalaka, Kabong dan Krian di Saratok, yang kemudiannya menyerahkan kepada beliau kira-kira 1,150 borang baharu untuk menyertai TERAS.

Mawan berkata TERAS, sebagai parti mesra BN, mempunyai empat tonggak utama untuk merealisasikan matlamatnya dalam membawa pembangunan dan perpaduan yang lebih utuh.

"Paling utama, pemimpin kita yang lain berada dalam kerajaan negeri. Kita mempunyai kuasa dan kedudukan untuk membantu.

"Kita mempunyai dana daripada kerajaan dan kita sudah pun melaksanakan dan akan terus melaksanakan lebih banyak projek pembangunan," katanya.

- Bernama