Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketika Presiden Barrack Obama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumppur di Sepang, petang tadi, sekumpulan kira-kira 20 orang menyambut kehadiran itu dengan mengadakan bantahan di luar kedutaan Amerika Syarikat.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan memorandum membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bantahan di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.

Pengasas SAMM Badrul Hisham Shaharin berkata, mereka tidak menyerahkan memorandum itu kepada wakil kedutaan sebaliknya hanya meletakkan di lantai sebagai tanda ‘tidak menghormati Amerika’.

“Kita akan menghantar satu memorandum bantahan yang kita tidak akan hantar kepada kedutaan pun sebab kita tidak menghormati kerajaan bernama Amerika. Kita akan hadir ke sana dan tampal di hadapan kedutaan.

“(Obama) presiden kepada negara yang menggelarkan diri mereka polis dunia tapi merekalah raja dan bapa segala kezaliman… Malaysia menjadi tumpuan dunia kerana pemimpin zalim turut berada di Malaysia,” katanya di hadapan Bangunan Tabung Haji.

Lawatan kedua

Setiausaha Agung PSM A Sivarajan berkata, kehadiran Obama ke Kuala Lumpur hanya untuk memujuk negara ini bagi menandatangani perjanjian TPPA.

“PSM bantah kehadiran Obama yang mana dia datang untuk tandatangani TPPA dan itu sahaja tujuan dia datang ke sini.

“Ini kali kedua Obama datang ke Malaysia dan ia menunjukkan betapa terdesaknya Amerika untuk menjamin kepentingan korporat besar mereka di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Protes yang dihadiri seramai 20 orang itu turut membawa plakad yang tertera perkataan ‘war disney’ dan ‘killer’.

Mengulas lanjut mengenai bantahan itu, Badrul yang turut dikenali sebagai Chegubard berkata pihaknya akan meneruskan protes di hadapan KLCC esok serta berarak sehingga ke Jalan Ampang bermula jam 2 petang.

Katanya, bantahan itu bagi menunjukkan kemarahan rakyat mengenai perjanjian TPPA yang didakwa akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lemah.

“Saya percaya dan yakin, ramai bersama kita yang mana esok di acara kemuncak Asean. Kita akan berarak dari KLCC dan menuju ke Jalan Ampang yang mana menunjukkan kemuncak kemarahan rakyat Malaysia.

“Kita akui negara dunia hari ini memerlukan perdagangan antarabangsa tetapi kita tidak boleh kompromi apabila perjanjian TPPA ditandatangani yang akhirnya negara kita menunduk lemah.

“Malaysia ada maruahnya, ia memalukan, menghina dan menghakis kedaulatan negara,” katanya.

Obama antara pemimpin dunia yang dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-27 yang dihoskan Malaysia sebagai pengerusi tahun ini.

Lihat Komen
ADS