Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiba di Malaysia bagi sidang-sidang kemuncak berkaitan ASEAN bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 yang dihoskan Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2015.

Pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang yang terletak di luar kawasan Kuala Lumpur, pada kira-kira 3.20 petang.

Pemimpin Amerika Syarikat itu dijadual mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak petang ini.

Presiden itu akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-3 serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10.

Obama pernah mengadakan lawatan negara tiga hari di Malaysia pada April 2014.

Pemimpin lain juga telah tiba di ibu negara Malaysia untuk menghadiri sidang kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak berkaitan dari esok, yang akan dipengerusikan oleh Najib.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Korea Selatan Park Geun-hye, Presiden Myanmar U Thein Sein, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana Menteri New Zealand John Key tiba hari ini dengan pesawat masing-masing mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Pesawat yang membawa Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong juga mendarat di kompleks bagi orang kenamaan itu di KLIA.

Sementara pesawat membawa Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mendarat di Skypark Terminal Lapangan Terbang Subang manakala pesawat membawa Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang.

Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha tiba di Kuala Lumpur semalam.

- Bernama