Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Takkan jumpa orang Umno pun tak boleh cakap'
Diterbitkan:  Nov 22, 2015 1:26 PM
Dikemaskini: 5:29 AM

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata walaupun terdapat pimpinan PAS mengadakan pertemuan dengan Umno tidak bermaksud parti itu akan menjalinkan hubungan politik dengan parti tersebut.

"Takkan lah kita jumpa orang Umno kita tidak boleh bercakap, nak macam itu ke, takkan kita nak balik kaedah lama balik, kalau jumpa orang Umno, nak tindih bayang pun tidak boleh.

"PAS ini ada dasar, kita ada Majlis Syura, kita ada AJK PAS pusat, Lajnah Politik, jangan tuan-tuan runsing, tengok kepimpinan PAS minum kopi dengan orang Umno, terus kata nak masuk Umno," katanya dipetik dilapor Sinar Harian Online hari ini.

Laporan itu juga menyebut, PAS mengakui bahawa parti Islam itu menggunakan pendekatan berbeza ketika berdepan dengan Umno.

MP Bukit Gantang itu berkata demikian semasa ceramah Sambutan 60 tahun Pas Kelantan yang diadakan di Dataran Ilmu, di Kota Bharu malam tadi.

Isu kerjasama PAS-Umno kini kembali panas apabila bekas naib presiden Datuk Husam Musa mendakwa pimpinan PAS mahu mewujudkan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Husam mendakwa tindakan itu gagal setelah kerusi yang diperoleh tidak cukup untuk mewujudkan sebuah kerajaan.

Laporan itu juga menyebut Idris berkata dalam mesyuarat Majlis Syura minggu lalu, tiada perbincangan khusus berhubung agenda PAS untuk bergabung dengan Umno dan menyeru anggota PAS supaya tidak bimbang dengan perkara itu.

“Sebab itu tuan puan, setakat hari ini, jangan runsinglah, mesyuarat terakhir minggu lepas majlis syura, jawatankuasa PAS Pusat tak pernah bincang pun nak masuk Umno ini, tidak ada. Malah kita tegaskan lagi sekali, kita dengan Umno ini tak ada apa,” katanya lagi.

Laporan itu juga melaporkan Idris berkata mereka yang menyertai PAS bukan kerana ikutan mana-mana individu sebaliknya kerana dasar parti itu yang mahukan Islam dimartabatkan.

"Kalau ada pemimpin PAS yang dekat dengan Umno, dia seorang sahaja dekat dengan Umno. Sebab itu tuan-tuan jangan bimbang tidak ada orang PAS yang nak masuk Umno ni," katanya.

Lihat Komen
ADS