Tokoh perniagaan permaidani kontroversi Deepak Jaikishin sedang mengkaji kemungkinan menyelesaikan saman berbilion ringgitnya ke atas bekas pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabaruddin Chik dan penulis Shahbudin Husin.

Ini berikutan perlantikan seorang peguam baru yang mewakilinya dalam kes di mana hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan pengurusan kes pada Jumaat ini

Peguam Adnan Seman @ Abdullah berkata ini berlaku semasa pengurusan kes hari ini di mana Deepak dan peguam baru AK Sharma hadir sama.

Katanya, mahkamah telah mengarahkan Deepak supaya membekalkan dokumen dan fakta yang dipersetujui sejak Khamis lalu tetapi beliau belum berbuat demikian.

Adnan berkata Deepak memerlukan masa kerana baru sahaja melantik Sharma dan sedang mempertimbangkan untuk menyelesaikan kes itu.

"Berikutan ini, mahkamah hari ini menetapkan Jumaat sebagai pengurusan kes. Ia juga menetapkan tiga hari bermula 7 Disember ini untuk perbicaraan jika tidak ada penyelesaian.

"Tetapi Deepak perlu memfailkan dokumen itu terlebih dahulu," katanya.

Deepak, ketika ditemui, enggan mendedahkan butiran mengenai apa yang berlaku tetapi berkata beliau mungkin akan mengeluarkan satu kenyataan.

Adalah dilaporkan bahawa Deepak memfailkan saman itu berikutan penerbitan buku bertajuk 'Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat - dari hati Sabaruddin Chik' kerana beliau mendakwa ia adalah fitnah.

Deepak, yang merupakan pengarah di 50 syarikat, berkata buku itu mendakwa beliau bersubahat dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi ketika itu, perdana menteri atau isterinya atau pengarah Bank Rakyat untuk mendapatkan pinjaman, bahawa beliau seseorang yang tidak boleh dipercayai dan adalah seorang usahawan kontroversi.

Buku ini juga, katanya membawa maksud bahawa beliau mempunyai skandal, memberikan gambaran bahawa beliau adalah seorang penjenayah, perrasuah dan tidak boleh dipercayai.

[Baca berita penuh]