Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad berkata siasatan polis terhadap Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasrullah Mohd Nasir menunjukkan bahawa pihak berkuasa masih melindungi pihak yang terpalit dengan dakwaan salah guna dana awam.

"Jelas di sini bahawa masih ada yang hendak melindungi penyalahguna kuasa dengan menyiasat sesiapa sahaja yang mendedahkan kepincangan, daripada menyiasat dengan telus perihal yang telah didedahkan," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.

Kecewa dengan perkara itu, beliau menggesa pihak berkuasa berhenti amalan mengancam pendedah maklumat yang sepatutnya dilindungi sebaliknya menumpukan siasatan dakwaan salah guna kuasa serta mengheret mereka ke muka keadilan.

"Itulah yang rakyat mahukan," katanya yang juga exco kerajaan Selangor .

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam mengesahkan bahawa polis membuka kertas siasatan susulan laporan polis terhadap Akmal oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) Datuk Abibullah Samsudin

Mengulas lanjut, Nik Nazmi turut mempersoalkan keperluan menyiasat perolehan dokumen Yapeim itu sedangkan kesemua maklumat yang didedahkan telah disahkan ketulenannya oleh yayaysan terbabit.

"Adakah pihak berkuasa berharap agar maklumat-maklumat ini tidak langsung diketahui rakyat? Bukankah rakyat berhak mengetahui ke mana perginya duit sumbangan mereka?" soal Nik Nazmi.

Pada 18 November lalu, Abibullah membuat laporan polis terhadap Akmal dengan menyatakan NGO terbabit memperolehi dokumen berkaitan yayasan itu secara tidak sah susulan siri pendedahan NO berhubung dakwaan salah guna dana awam dan lebihan pembayaran gaji kepada pengurusan atasannya.

Pengarah Undang-undang Yapeim Mohd Nasir Disa pula berkata dokumen yang didedahkan itu benar, tetapi ia tidak menunjukkan gambaran keseluruhan dan dokumen lain akan mendedahkan kebenaran yang sebenar.

Hari ini beliau dilapor berkata pihaknya juga sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat berhubung pengurusan kewangannya, namun turut menyerahkan perkara berkenaan kepada polis untuk siasatan secara menyeluruh.