Menteri: SPRM telah tetapkan tarikh jumpa Jho Low

   

PARLIMEN I Menurut kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghubungi ahli perniagaan Low Taek Jho untuk urusan membantu siasatan berhubung SRC International Sdn Bhd.

Ini selaras dengan kenyataan jurucakap Jho Low, yang berkata beliau telah behubungan dengan agensi pembasmi rasuah itu.

"Pihak SPRM telah menghubungi peguam kepada Jho Low bagi menetapkan tarikh untuk merakamkan percakapannya.

“Namun, SPRM tidak dapat mendedahkan hasil perbincangan supaya tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan

dalam jawapan bertulis di parlimen hari ini.

Beliau menjawap pertanyaan daripada Jeff Ooi (DAP-Jelutong) sama ada SPRM akan menangkap Jho Low untuk membantu siasatan skandal 1MDB secara merentasi sempadan.

Jho Low dikatakan adalah penasihat kepada 1MDB, yang sebelum ini adalah syarikat induk SRC International tetapi beliau menafikan dakwaan itu.

SRC International disiasat kerana didakwa memindahkan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib menafikan perkara itu.

Sebaliknya, perdana menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan SPRM untuk membantu siasatan termasuk mengenai sumbangan RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya daripada penderma Arab.

Najib juga dijadual menjawap kedua-dua isu berkenaan di Parlimen pada 3 Disember ini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In