Seorang lagi pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) akan disiasat oleh jawatankuasa disiplin universiti tersebut berikutan tersiarnya tulisannya dalam akhbar rasmi PAS, Harakahdaily dan dalam Berita Kampus.

Ali Bukhari Amir, 27, pelajar tahun akhir kajian komunikasi berkata beliau menerima surat daripada Bahagian Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar, yang mengarahkannya supaya menghadiri sesi siasatan oleh jawatan penyiasatan pada 31 Disember ini.

Tulisannya itu disiarkan dalam akhbar Harakah edisi 31 Ogos di mana Ali menulis mengenai pengumuman pihak USM bahawa perlantikan Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) akan dibuat melalui sebuah majlis yang terdiri daripada sebilangan pegawai HEP.

Beliau menyifatkan keputusan itu sekaligus menamatkan riwayat demokrasi di universiti tersebut, yang menurutnya akan memudahkan program melalaikan pelajar berkembang mekar dan selaras dengan itu, mematikan budaya intelektual yang menjadi ramuan penting dalam memertabatkan universiti itu sendiri.

Manakala tulisannya dalam Berita Kampus pula adalah mengenai keputusan piliharanya kampus di USM di bawah tajuk 'Idealisma Mahasiswa menang tipis 19-18 kepada Aspirasi'.

Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa pilihanraya kampus di semua univerisiti tempatan membabitkan persaingan antara kumpulan pelajar yang pro-kerajaan dan calon pro-pembangkang.

Menurut Ali, beliau juga menulis satu lagi rencana mengenai pakatan mahasiswa di kampus tetapi ianya tidak disiarkan oleh Berita Kampus.

Berakar umbi

Beliau mendakwa Timbalan Canselor Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Datuk Prof Madya Jamaludin Mohaiadin memberitahunya bahawa rencana itu tidak disiakan bagi mengelak berlakunya perpecahan di kalangan pelajar.

"Tulisan saya itu tidak akan memecahbelahkan pelajar. Mereka sememangnya telah berpecah. Sesetengah rencana yang saya dan rakan-rakan tulis mengenai Soh Sook Hwa juga tidak diluluskan," katanya ketika dihubungi.

Soh, pelajar tahun akhir kajian kewartawanan USM baru-baru ini diberi amaran keras dan didenda tidak melebihi RM200 kerana terbabit dalam kempen untuk seorang pemimpin pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.

Menurut Ali, Jamaludin tidak sesuai untuk menyemak tulisannya kerana beliau tidak mempunyai sebarang latarbelakang dalam bidang kewartanan.