Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAC tak puas hati, minta 7 kementerian beri penjelasan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kurang berpuas hati dengan pengurusan kewangan beberapa kementerian berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2014 siri yang ketiga.

“Pada keseluruhannya kita kurang puas hati dengan pengurusan kewangan, akauntabiliti di agensi kerajaan dan persekutuan yang menurun pencapaiannya,” kata pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu merancang untuk memanggil tujuh kementerian bagi menjelaskan berhubung enam isu yang dibangkitkan dalam laporan audit.

Antaranya, Kementerian Pertananian dan Industri Asas Tani berhubung beras ST15; Kementerian Luar Bandar dan Wilayah berhubung pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli; dan Kementerian Pelajaran mengenai pembinaan sekolah-sekolah agama kemudahan lain di Sarawak.

Turut akan dipanggil adalah Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan berhubung projek naik taraf Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat; Kementerian Dalam Negeri mengenai pengurusan kuarters Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Kementerian Pertahanan berhubung pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di Putrajaya.

"Kita akan panggil ketua setiausaha," kata Hasan.

Dalam laporan itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 102 syor kepada kerajaan persekutuan, 32 syor kepada badan berkanun persekutuan dan 134 syor kepada kerajaan negeri.

Ia dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Dalam Laporan Siri 3 itu, sebanyak 69 pengauditan prestasi dan 16 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat persekutuan, negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS