Nazri: Rohingya akan diberi taraf pelarian

Pauline Puah        

Kerajaan akan memberi taraf pelarian kepada masyarakat Rohingya di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz.

"Saya telah bercakap dengan ketua setiausaha. Kami sedang berusaha untuk melaksanakan keputusan tersebut," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila dasar baru itu akan dikuatkuasakan.

Bulan lalu, Nazri mengumumkan bahawa kerajaan akan memberi taraf pelarian kepada masyarakat Rohingya di sini.

Bagaimanapun, Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid berkata tiada sebarang keputusan muktamad dibuat mengenainya.

Kenyataannya itu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat Rohingya di negara ini yang terus menggesa kerajaan supaya memberi taraf pelarian atas dasar peri kemanusiaan.

Dalam bidangkuasa JPM

Sementara itu, Nazri berkata perkara tersebut adalah dalam bidangkuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Perkara ini (taraf pelarian) bukan di bawah bidangkuasa kementeriannya (Azmi), ianya di bawah Jabatan Keselamatan Negara,," tambahnya.

Menurut beliau lagi, Azmi mungkin belum dimaklumkan lagi mengenai keputusan tersebut.

Rakyat Rohingya, kaum etnik di Burma, tidak diiktiraf oleh kerajaan Burma sebagai rakyat negara itu. Jika pulang ke sana, mereka akan diusir dan harta benda mereka dirampas. Berikutan itu, mereka lari ke Malaysia untuk mendapat perlindungan sejak tahun 1980-an.

Mengikut UNHCR, terdapat kira-kira 10,000 Rohingya di Malaysia.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In