Perbicaraan Eric Chia disambung Februari depan
Perbicaraan terhadap bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Eric Chia akan disambung pada 15 Februari depan untuk mendengar keterangan daripada seorang saksi yang dikatakan telah membuat aduan mengenai Eric Chia kepada Kementerian Kewangan.
Perbicaraan terhadap bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Eric Chia akan disambung pada 15 Februari depan untuk mendengar keterangan daripada seorang saksi yang dikatakan telah membuat aduan mengenai Eric Chia kepada Kementerian Kewangan.
Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Hamzah memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa akan memanggil bekas Pengarah Perwaja Nik Affandi Nik Yusoff.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaraya akan mengambil masa untuk menyoal Nik Affandi yang dilantik oleh Kementerian Kewangan menganggotai lembaga pengarah Perwaja.
Semalam, ketika peguam Muhammad Shafee Abdullah menyoal bekas pengarah Perwaja Zubir Embong, mahkamah diberitahu mengenai surat yang dikatakan ditulis oleh Nik Affandi kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengandungi 'tuduhan-tuduhan tidak berasas' terhadap Chia.
Chia kemudiannya mendedahkan kandungan surat tersebut sewaktu mesyuarat lembaga pengarah ke-30 syarikat tersebut pada tahun 1995 dan menegur Nik Affandi kerana berbuat demikian.
Lembaga pengarah juga sebulat suara melahirkan rasa kesal mereka terhadap tindakan Nik Affandi yang menulis terus kepada menteri berkenaan mengenai tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap lembaga itu atau Chia sendiri.
Didakwa tidak setia
Lembaga pengarah juga mengecam tindakan Nik Affandi itu 'sebagai tidak setia kepada syarikat dan gagal melaksanakan tugasnya' dan dia ((Nik Affandi) bukan dalam kedudukan untuk membuat penilaian mengenai Perwaja.
Peguam Chia telah membangkitkan isu tersebut untuk menyokong dakwaan bahawa wujudnya konspirasi yang didakwa membabitkan Anwar untuk menyingkirkan Chia daripada Perwaja.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan pihak peguambela mengemukakan soalan mengenainya kerana ia tidak releven dalam kes tersebut.
Chia didakwa dengan curang meluluskan pembayaran RM76.4 juta ke akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd., Hong Kong, bagi bantuan teknikal untuk projek `Beam dan Section Mill Plant' di Gurun sedangkan tiada bayaran seperti itu yang patut dibuat kepada NKK Corporation.
Secara alternatif, dia dituduh dengan curang melupuskan dana itu dengan memeterai satu perjanjian bersama NKK Corporation dan meluluskan bayaran jumlah itu tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill Development Sdn. Bhd.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu dalam bidang kuasanya sebagai Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill Sdn. Bhd., di pejabatnya di Menara UBN, Jalan P. Ramlee di sini antara 4 November 1993 dan 22 Februari 1994.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara.

