Ahmad: Kajian analisis kos faedah TPPA siap

   

Kajian analisis kos faedah mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet pada Jumaat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata laporan itu, yang dihasilkan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), akan dibentangkan dahulu di peringkat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) malam ini.

"(Kemudian) ia akan dibentang kepada Kabinet pada 27 Nov ini dan diedar kepada Anggota Parlimen minggu depan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Maslan yang juga Anggota Parlimen Pontian berkata MITI akan memberi taklimat mengenai TPPA kepada Kokus Parlimen dalam masa terdekat selain dua perjumpaan 'townhall' dengan orang ramai pada Disember dan Januari depan.

MITI juga akan memberi taklimat khas kepada semua Anggota Parlimen pada pertengahan Januari depan sebelum sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan TPPA diadakan.

"Sekarang, kita sedang menunggu tarikh sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan mengenai TPPA daripada Tan Sri Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) sebelum perjanjian itu dimuktamadkan," katanya.

Ahmad berkata kerajaan juga akan meneruskan sesi penerangan mengenai TTPA kepada pihak berkepentingan, 15 kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan TPPA.

Kerajaan juga akan meneruskan penerangan ke semua negeri seperti yang dilakukan di Kelantan, Kedah, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Semasa ditanya mengenai dakwaan bahawa harga ubat-ubatan bakal naik selepas TPPA dimuktamadkan, Ahmad menafikan perkara itu.

"Tidak benar seperti dilaporkan (portal berita) bahawa Obama (Presiden Amerika Syarikat Barack Obama) dalam satu ucapan menyatakan harga ubat akan naik.

"Ia tidak benar, kerana tidak akan ada perubahan dalam perlindungan paten selama 20 tahun mengikut perjanjian ini," katanya.

Tambahnya, kerajaan sedaya upaya akan menjawab segala persoalan mengenai TPPA dalam setiap pertemuan dengan Kokus Parlimen dan orang awam.

"Dalam TPPA ini ada kos dan ada faedah, tetapi percayalah, faedahnya melebihi kos," katanya.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In