Lewat siap Puspahanas, kerugian RM27 juta
LAPORAN AUDIT l Projek pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di Presint 1, Putrajaya yang sepatutnya siap pada 23 Okt 2014 mengalami kelewatan selama 282 hari disebabkan prestasi kerja kontraktor yang amat perlahan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, kelewatan projek bernilai RM99 juta itu menyebabkan Kerajaan terpaksa menanggung kos kerugian sebanyak RM26.87 juta berikutan pengurangan nilai tanah balasan projek itu.
Laporan itu mendedahkan kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek itu, Syarikat Awan Megah Sdn Bhd (AMSB) gagal mengemukakan pelan pemulihan dengan menggunakan kaedah Critical Path Method yang baru setakat lawatan audit dijalankan pada Julai 2015.
Menerusi maklum balas kepada Jabatan Audit Negara pada 29 Sept 2015, Kementerian Pertahanan telah mengarahkan AMSB menyediakan pelan pemulihan berdasarkan prestasi projek yang tidak memuaskan.
"Mengikut pelan pemulihan yang diserahkan AMSB pada 25 Ogos, syarikat itu bersetuju menyiapkan projek ini menjelang 29 Feb 2016," katanya.
Kementerian itu berkata berdasarkan penilaian semula dalam pelan pemulihan AMSB, didapati bahawa kemajuan projek itu setakat 15 Sept adalah 76.83 peratus.
Mengulas mengenai implikasi cadangan penamatan kontrak AMSB, kementerian itu berkata tindakan sedemikian pada masa ini akan merugikan kerajaan kerana tanah balasan telah selesai dipindah milik kepada syarikat itu pada 12 Jan lalu.
"Berdasarkan kelewatan yang berlarutan, wakil pengarah projek pada 4 Ogos lalu telah mengambil inisiatif mengesyorkan projek ini dibawa ke pertimbangan Jawatankuasa Projek Sakit (JKPS) untuk cadangan pemulihan," menurut kementerian itu.
-Bernama

