Lapan orang lagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) didakwa telah dipukul di Kem Tahanan Kemunting, di Perak.

Mengikut isteri lima tahanan di situ, dalam kejadian tersebut, suami mereka telah digari, dipukul manakala rambut dan janggut mereka dicukur.

Bercakap dalam satu sidang akhbar Sabtu lalu, mereka mendakwa kejadian itu berlaku sehari selepas 12 lagi tahanan di kem yang sama, dipukul sewaktu pihak kem mengadakan pemeriksaan Rabu lalu.

Lapan tahanan tersebut ialah Yazid Sufaat, Ahmad Yani Ismail, Abdul Samad Shukri Mohamad, Abdullah Minyak Silam, Abdul Murad Sudin, Mohd Faiq Hafidh, Zid Saharani Mohd Esa dan Mohd Khider Kadran.

Isteri-isteri terbabit telah membuat lima laporan polis Sabtu lalu di Balai Polis Taiping mengenai kejadian tersebut. Mereka juga mendakwa tahanan yang cedera tidak dibenarkan mendapat rawatan.

Sidang akhbar tersebut diadakan semasa pelancaran kempen anti-ISA di ibupejabat PAS di Gombak, Selangor, pada malam Sabtu lalu.

Mereka berkata, mereka masing-masing dibenarkan berjumpa suami mereka selama 15 minit Sabtu lalu.

Berdiam diri

Mereka diberitahu, kira-kira 50 pegawal keselamatan yang bersenjatakan baton dan perisai, memasuki bilik tahanan ketika wakut sembahyang Asar (kira-kira jam 4 petang) Khamis lalu.

"Tahanan di situ tidak berbuat apa-apa kerana sebelum ini ada tahanan yang melawan sehingga berlaku kekecohan. Suami kami hanya berdiam diri," kata Suri Hanim Mohamed, isteri kepada Ahmad Yani.

Katanya, tahanan-tahanan tersebut kemudiannya digari dan diarah supaya membongkok (foto) sambil berjalan ke dewan sembahyang, di mana mereka telah dipukul.

Ada antara mereka yang dipukul dengan baton manakala jari tangan dan kaki mereka dipijak. Seorang lagi dicekik dari belakang oleh pengawal keselamatan. Pada masa yang sama, seorang lagi dibelasah oleh empat pengawal keselamatan.

Menurut Suri, mereka juga turut dimaki hamun dan dipanggil babi (panggilan yang dianggap satu penghinaan bagi orang Islam).

Rambut dan janggut tahanan terbabit juga dikatakan telah dicukur, dan Yazid pula dikatakan telah ditelanjangi.

"Apabila tahanan memberitahu pengawal terbabit bahawa menyimpan janggut adalah sunnah (amalan Rasulullah), mereka bertindak dengan mengatakan 'sunnah itu tahi kucing'," tambah Suri.

Menurutnya, tahanan terbabit tidak berdaya berbuat apa-apa kerana tangan mereka telah digari.

"Apabila saya bertemu suami saya, mulutnya berdarah dan terdapat kesa lebam di badannya. Seorang lagi tahanan tidak boleh berjalan,' tambahnya.

Suri mendakwa pihak berkuasa kem tersebut tidak membenarkan tahanan yang cedera untuk mendapatkan rawatan, sebaliknya mengurungkan mereka. Permintaan mereka untuk bertemu peguam juga ditolak.

Ditanya mengenai punca kejadian tersebut, beliau berkata: "Anda tanyalah kepada mereka (pihak berkuasa)...mereka melayan suami kami seperti binatang."

Suri juga melahirkan kebimbangannya mengenai 12 tahanan yang terbabit dalam kejadian yang sama pada 8 Disember lalu, kerana keluarga mereka tidak dibenarkan melawat, dan tidak tahu keadaan tahanan terbabit.

Kementerian Dalam Negeri mendakwa kejadian tersebut berlaku selepas tahanan terbabit menghalang kira-kira 70 pengawai daripada melakukan pemeriksaan, di mana mereka kemudiannya menemui 'senjata'. Tahanan terbabit kemudiannya dikatakan melawan.

Mengulas mengenai 'senjata' tersebut, Suri mendakwa semua pelawat melalui pemeriksaan badan dan berjalan di bawah alat pengimbas sebelum mereka dibenarkan masuk bertemu tahanan.

"Senjata tersebut adalah pisau lipat dan gunting yang disediakan oleh pihak kem, supaya tahanan dapat menghasilkan kerjatangan seperti bekas pensil dan kotak barang kemas," jelasnya.

Kota barang kemas (foto) yang dihasilkan oleh tahanan ISA dijaual sewaktu majlis pelancaran kempen anti-ISA tersebut.

Suri juga mendakwa, kesemua barangan itu telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa kem tersebut.

Lawatan Suhakam

Sementara itu, menurut maklumat tambahan yang diperolehi oleh Gerakan Masmi ISA (GMI), kakitangan kem tersebut mengacu pisau ke kepala Yazid ketika dia dibawa ke bilik kurungan.

Setiausaha GMI Chang Lih Kang, dalam kenyataannya, menyifatkan kekasaran kakitangan kem tersebut sebagai kejam dan penyalahgunaan kuasa.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof Hamdan Adnan and S Siva Subramaniam pula melawat kem itu selama lima jam Sabtu lalu.

Menurut Hamdan, "senjata' tersebut merupakan peralatan yang disediakan oleh pihak berkuasa kem, tetapi berkata 13 telefon bimbit juga turut temui.

Beliau dilaporkan berkata, pelawat wanita tidak perlu melalui proses pemeriksaan badan, ketika mereka melawat kem tersebut.

Bagaimanapun, peguam Edmund Bon yang mewakili tahanan tersebut, menafikan kenyataan tersebut.

Menurutnya, satu aduan telah dibuat kepada Suhakam pada 30 Ogos lalu mengenai pemeriksaan badan pengawal wanita di situ yang 'terlalu rapi' sehingga boleh dianggap melanggar hak-hak privasi."

Ketika dihubungi, beliau berkata, isteri tahanan juga terpaksa membuka atau menyelak tudung dan mereka diperiksa hingga ke seluar dalam atau bahagian sulit badan mereka.