Editor portal berita dalam talian Malaysia Today , Raja Petra Raja Kamaruddin, menafikan dakwaan bahawa lamanwebnya mengapi-apikan ketegangan kaum dan agama di kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, beliau hanya 'mendedahkan apa yang tidak kena' dan tidak mempunyai sebarang 'niat buruk' seperti yang dilaporkan oleh tabloid Harian Metro.

"Saya hanya mendedahkan kebenaran dan apa yang tidak kena. Jika itu berniat jahat seperti yang dilaporkan oleh tabloid berbahasa Melayu itu, biarlah.

"Tetapi saya harap mereka dapat membuktikan dakwaan mereka itu," katanya ketika dihubungi.

Dalam laporan muka depannya yang bertajuk 'Debat senda Islam' semalam, Harian Metro menuduh Raja Petra telah membenarkan penyiaran di lamanwebnya tulisan yang menuduh orang Islam menghina agama lain.

Laporan itu juga turut memetik Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail sebagai berkata Raja Petra mempunyai 'niat jahat' kerana mengadakan debat mengenai khutbah Jumaat yang didakwa mengandungi teks yang menghina agama-agama lain.

Bagaimanapun, Raja Petra mendakwa sebaliknya.

Pirdaus memang marahkan saya

"Telah dikatakan saya telah menghina Islam. Jika mereka percaya saya melakukannya, saya sedia dibawa ke mahkamah, dengan syarat saya dihakimi mengikut undang-undang Islam. Itu sahaja yang saya mahu katakan kepada mereka. Untuk selanjutnya, sila baca kolum saya, Monday Morning Blues .

Ditanya mengenai teks khutbah terbabit, Raja Petra berkata beliau hanya melaporkan apa yang berlaku.

"Sesiapa sahaja boleh mendengar khutbah Jumaat. Jika mereka mendakwa tiada mana-mana teks yang menghina, jadi mengapa tidak mereka siarkan khutbah tersebut. Orang ramai bebas untuk mengadilinya sama ada ia (khutbah) menghina atau tidak," tambahnya.

Beliau juga mendakwa bahawa Pirdaus membuat kenyataan terhadap dirinya kerana pemimin Umno itu yang dahulunya merupakan imam besar Masjid Negara, marah kepadanya.

"Ketika saya bersama Seruan Keadilan (akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat), saya mendedahkan pembabitannya dengan rasuah.

Bukan perkara baru

"Dalam Malaysia Today , saya telah mendedahkan perangainya sewaktu (mahkamah mendengar) petisyen pilihanraya bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh. Itulah sebabnya dia begitu marah terhadap saya," katanya.

Raja Petra juga yakin bahawa laporan negatif itu tidak akan menjejaskan lamawebnya yang mula beroperasi empat bulan lalu mulai 13 Ogos 2004.

"Ianya bukanlah sesuatu yang baru kepada saya kerana saya pun pernah dituduh oleh banyak pihak, orang Umno, pembangkang, pro-reformasi.

"Tetapi saya sepatunya mengucap terima kasih kepada mereka kerana mendapat publisiti percuma. Kini, orang yang tidak tahu mengenai lamanweb ini, sudah pasti akan melayari Malaysia Today ," katanya.

Ditanya sama ada Harian Metro ada menghubunginya untuk mendapatkan ulasan sebelum menyiarkan berita tersebut, Raja Putera berkata sehingga semalam, beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada tabloid berkenaan.

"Mereka mengatakan dalam laporan tersebut yang mereka gagal dalam usaha untuk menghubungi saya semalam. Saya tidak pasti nombor telefon saya yang mana satu yang mereka gunakan kerana wartawan akhbar-akhbar lain, termasuk dari luar negara, tidak menghadapi masalah untuk menghubungi saya," tambahnya.