Kes Kasitah ditangguh Jun depan
Bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Kasitah Gaddam yang menghadapi tuduhan rasuah melibatkan RM24 juta terpaksa menunggu sekurang-kurangnya enam bulan lagi sebelum kesnya mula dibicarakan.
Bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Kasitah Gaddam yang menghadapi tuduhan rasuah melibatkan RM24 juta terpaksa menunggu sekurang-kurangnya enam bulan lagi sebelum kesnya mula dibicarakan.
Meskipun dibantah oleh ketua peguamnya, Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh kes didengar, Hakim Abdull Hamid Embong membenarkan permohonan pihak pendakwa supaya kes itu disebut sekali lagi pada 1 Jun depan.
"Saya menghormati dan faham keprihatinan anda Encik Shafee tetapi masalah pendakwaan timbul tanpa diduga, jadi kita akan menyebutnya sekali lagi," kata hakim tersebut.
Beliau juga menasihatkan pihak pendakwa yang diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya Persekutuan (DPP), Hanafiah Zakaria mempercepatkan kes tersebut.
"Saya harap kedua-dua pihak menulis kepada mahkamah mengenai perkembangan kes itu dan jika masalah itu dapat diselesai lebih awal, kita dapat bertemu lagi dan menetapkan tarikh perbicaraannya," tambah beliau.
Dua tuduhan
Kasitah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Pengerusi Eksekutif Lembaga Pembangunan Tanah (SLDB) untuk kepentingan kewangannya, dengan mengambil bahagian dalam keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta unit saham pegangan LPTS dalam SAPI Plantations Sdn Bhd kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd padahal beliau telah dijanjikan sejumlah 3.36 juta saham SAPI Plantations.
Kasitah dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Forum, Hotel Fairlane di Kuala Lumpur pada 22 Okt, 1996. Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Nombor 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat Tahun 1970 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Untuk tuduhan kedua, Kasitah didakwa telah dengan curangnya menyembunyikan tawaran PPB Oil Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi saham SAPI Plantations Sdn Bhd di dalam cadangan PPB Oil Palm untuk disenarai di Papan Utama, Bursa Saham Kuala Lumpur.
Dengan itu, beliau didakwa telah dengan sengaja mendorong ahli-ahli Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah untuk meluluskan penjualan 16.8 juta saham pegangan LKTS dalam SAPI Plantations kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd, di mana jika diberitahu mengenainya tawaran PPB Oil Palms, mereka tidak akan meluluskan penjualan saham tersebut.
Kasitah didakwa melakukan kesalahan menipu ahli lembaga tersebut, juga di Bilik Mesyuarat Forum, Hotel Fairlane di Kuala Lumpur 22 Oktober 1996. Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan/atau didenda.
Terdahulu, Hanafiah memberitahu mahkamah bahawa status permohanan pihak pendakwa supaya Kasitah dibicarakan bersama bekas Pengurus Besar SLDB Wasli Mohammad, yang menghadapi tuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, masih belum ditetapkan.
"Bila perkara ini dibawa ke Mahkamah Rayuan, mahkamah memutuskan bahawa rayuan tersebut tidak lengkap kerana terdapat beberapa perkara yang tidak kena di peringkat awal permohonan tersebut.
"Mahkamah kemudian merujuknya semula kepada Mahkamah Sesyen. Jadi kita kini balik kepada asalnya," kata timbalan pendakwaraya tersebut.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa akan mengemukakan isu perlembagaan di Mahkamah Sesyen dan ada kemungkinan ia akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan.
Tidak adil
Shafee mempersoalkan penangguhan yang belum ditetapkan itu sebagai tidak adil kepada anak guamnya yang menghadapi kesukaran sejak didakwa.
Shafee berhujah bahawa penangguhan tersebut adalah tidak adil kepada pelanggannya yang terpaksa berdepan dengan kesukaran, sejak dia menghadap tuduhan tersebut.
"Beliau telah didakwa dan walaupun dibebaskan dengan ikatjamin, pasportnya disimpan oleh mahkamah (salah satu syarat jaminan). Ia amat menyulitkan... malah akaunnya, termasuk akaun peribadinya, telah dibekukan (untuk siasatan). Respon kepada ermohonan kami supaya pembekuan akaun-akaun tersebut ditarik balik, juga amat perlahan. Jadi adalah tidak adil kepadanya jika perkara itu berlanjutan terlalu lama.
"Perkara ini telahpun ditetapkan untuk didengar, tetapi kerana masalah pihak pendakwaraya, ia ditetapkan untuk disebut semula hari ini. Sepatutnya kes ini berada dalam senarai kes-kes yang dipercepatkan dan bukan bukannya seperti kes biasa,"katanya.
Pihak mahkamah bagaimanapun, menolak hujah Shafee. Sementara itu, Shafee memberitahu wartawan bahawa Peguam Negara belum menjawab permintaan pihak peguambela untuk mengkaji semula pendakwaan terhadap Kasitah.

