Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan kempen memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan pihak berkuasa menahan individu tanpa perbicaraan.

Pada majlis pelancaran kempen 'Menghapuskan ISA dari Malaysia' Sabtu lalu, Anwar menyifatkan undang-undang keselamatan itu sebagai 'bersifat menindas, kejam dan peninggalan penjajah'.

Berucap kepada kira-kira 600 orang yang hadir di majlis tersebut, Anwar berkata Malaysia tidak perlukan undang-undang seperti ini.

Sebaliknya, kata beliau, ISA kini digunakan untuk melindungi mereka yang berkuasa dan perasuah.

Menurutnya, pihak berkuasa sepatutnya menggunakan undang-undang yang lebih 'sofiskated' untuk menjaga keselamatan negara.

Anwar yang dua kali ditahan di bawah ISA, menggesa pihak berkuasa supaya mendakwa tahanan ISA di mahkmah terbuka atau membebaskan mereka..

"Jika mereka mempunyai bukti, buatlah mengikut proses sepatutnya, iaitu dakwa mereka di mahkamah." katanya.

Beliau juga mengkritik pihak berkuasa kerana bergantung kepada perakuan pegawai polis dari cawangan khas apabila memutuskan sama ada hendak menggunakan ISA atau tidak.

Beliau mendakwa bahawa pihak risikan gagal menjalankan tugas dengan baik dan menasihatkan mereka supaya menumpukan perhatian kepada masalah sebenar berhubung keselamatan negara.

"Mereka (cawangan khas) menghabiskan masa mereka dengan mengawasi kita....," tambahnya.

jelasnya.

Anwar juga mengkritik tindakan pihak berkuasa kerana menggunakan ISA untuk mengertak orang ramai daripada bercakap menentang kerajaan.

Jelajah seluruh negara

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh kira-kira 30 bekas tahanan ISA dan keluarga kepada kira-kira 40 mereka yang masih ditahan di bawah akta tersebut.

Bekas tahanan ISA, Said Zahari yang ditahan selama 17 tahun dan Lim Yoon Pang yang ditahan selama lapan tahun, turut berkongsi pengalaman mereka dengan para hadirin.

Turut hadir ialah bekas tahanan ISA Dr Syed Husin Ali, Dr Nasir Hashim, Koh Swee Yong, Mahfuz Omar, Tian Chua, Ezam Mohd Nor dan Hishamuddin Rais.

Pengerusi jawatankuasa penganjurnya, Saari Sungib yang juga bekas tahanan ISA berkata, mereka perlu menjelajah ke seluruh negara untuk terus menekan kerajaan supaya memansuhkan undang-undang tersebut.

ISA telah diperkenalkan oleh British untuk melawan komunis semasa darurat pada tahun 1950-an. Bagaimanapun, selepas kemerdekaan, undang-undang tersebut digunakan pula ke atas ahli politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Meskipun akta itu menjadi sasaran kritik, kerajaan tetap berkeras mengatakan bahawa undang-undang tersebut amat penting untuk memerangi keganasan.

Pada masa ini, terdapat lebih 100 tahanan, termasuk 60 yang didakwa anggota militan Islam, yang ditahan di bawah ISA di Kem Kamunting, Perak.