Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

GAJET Jam pintar Samsung Gear S2 dan S2 Classic didedahkan untuk cubaan pengamal media Malaysia buat kali pertama pada Khamis lalu.

Gimiknya melalui sesi senaman dalam sebuah gimnasium di Kuala Lumpur. Tujuannya untuk membolehkan pengamal media mencuba ciri jam pintar tersebut untuk menyukat kegiatan kecergasan.

Produk jam ini adalah dalam kategori alat elektronik yang boleh dipakai di badan (wearable electronics).

Pesaingnya dalam kategori ini sudah cukup ramai, termasuk produk Apple, Fitbit, Garmin, Polar, Suunto, Sony, dan Jawbone, sekadar menyebut beberapa nama.

Dalam acara tersebut, seorang pegawai tinggi Samsung Malaysia Electronics, Lee Jui Siang berkata kategori produk ini menyaksikan pertumbuhan paling “mengujakan” dalam industri elektronik pengguna.

Ciri estetik

“Kami mahu menggalakkan orang ramai memakai alat ini untuk membolehkan (sasaran) kesihatan dan kecergasan mereka lebih mudah dicapai,” katanya.

Nyatalah, Samsung ingin menguasai pasaran yang semakin berkembang ekoran peningkatan trend kecergasan di kalangan pengguna.

Maka apakah yang boleh menonjolkan produknya berbanding model pesaing?

Ciri estetiknya mungkin menjadi penarik utama. Lee berkata, model berkenaan sesuai digayakan untuk kegunaan lain dan tidak semestinya untuk aktiviti kecergasan semata-mata.

Jam ini juga boleh memaklumkan panggilan yang masuk dan memberitahu anda mengenai emel dan kiriman pesanan yang baru tiba di telefon bimbit.

Namun anda mungkin tidak mahu diganggu dengan emel dan hal-hal pejabat ketika cuba mencapai sasaran senaman pada satu-satu masa.

Apa yang mungkin berguna semasa senaman adalah data mengenai tahap degupan jantung dan profil kecergasan anda dalam menu S-Health.

Data ini mungkin berguna, contohnya jika anda mengalami masalah kesihatan dan perlu mengawal senaman agar tidak membebankan jantung.

Menu dan fungsi lain jam ini boleh dicapai dengan memutar gegelung di keliling pemukanya, dan juga dengan menyentuh skrin.

Gegelung ini merupakan inovasi baru yang memudahkan pengguna mencapai menu dan paparan yang dikehendaki – terutama ketika dalam keadaan yang berpeluh-peluh semasa bersenam.

Namun, keadaan badan yang berpeluh boleh menyukarkan pengesannya menyukat nadi dengan tepat, seperti yang berlaku ketika ia dicuba oleh penulis.

Kesimpulan: Mungkin ia lebih sesuai digunakan untuk kegiatan kecergasan sederhana sahaja.

Lihat Komen
ADS