Kabinet telah dirombak semula dan Presiden MCA telah meninggalkan partinya untuk menyertai Umno! Itulah yang dipaparkan oleh lamanweb rasmi Dewan Rakyat hari ini.

Malaysiakini secara tidak sengaja membuat 'penemuan' tersebut ketika melayari lamanweb rasmi Parlimen hari ini.

Mengenai senarai ahli Parlimen di lamanweb tersebut, kedudukan jawatan mereka dalam kabinet dan parti, didapati bercampur aduk.

Contohnya, Ahli Parlimen Merbok, Datuk Zainuddin Maidin, yang dilantik Timbalan Menteri Penerangan selepas pilihanraya umum 21 Mac lalu, kini mengikut lamanweb itu menjalankan tugas Timbalan Menteri Pertahanan.

Manakala Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Dr Rais Yatim pula telah bertukar portfolio. Menurut lamanweb itu, Rais ini menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri, yang sebenarnya dipegang oleh Perdana Menteri sendiri.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin juga telah ditukar portfolio dan 'diturun pangkat' kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Luar.

Memeranjatkan

Manakala Setiausaha Parlimen kementerian berkenaan, Datuk Zainal Abidin Osman, kini disenaraikan oleh lamanweb itu sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

Dua lagi ahli Parlimen juga nampaknya telah bertukar kawasan. Lagi memeranjatkan lagi ialah mengenai kedudukan Presiden MCA Datuk Ong Ka Ting.

Beliau disenaraikan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ahli Parlimen Tanjung Ria. Kedudukan itu memang betul. Tetapi lamanweb tersebut menyebut beliau kini mewakili Umno!

Manakala kedudukan ahli Parlimen Gerakan bagi kawasan Jelutong, yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Lee Kah Choon disenaraikan 'tiada' jawatan Kabinet.

Nasib baik, lamanweb itu menyenaraikan kedudukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan betul. Beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Masalah

Seorang penyelidik politik menyifatkan 'kesilapan' mengenai maklumat berhubung kedudukan ahli-ahli Parlimen dan anggota Kabinet dalam lamanweb rasmi Dewan Rakyat itu sebagai 'mengecewakan'.

"Ia adalah lamanweb rasmi dan jika mereka tidak menyiarkan maklumat yang betul, ke mana lagi kita hendak rujuk?" katanya.

Penyelidik tersebut, yang tidak mahu namanya disebut, berkata kesilapan itu bukan satu-satu masalah dengan lamanweb tersebut.

"Selalunya, kita tidak menemui apa-apa dalam bahagian arkib dan lamanweb tersebut juga selalu menghadapi masalah teknikal," tambahnya.

Berikutan itu, beliau menggesa pihak yang bertanggungjawab menyelia lamanweb itu supaya segera membuat pembetulan kerana para penyelidik serta wartawan dari dalam dan luar negara, bergantung kepadanya untuk mendapatkan maklumat.

Seorang jurucakap Parlimen, ketika dihubungi, berkata lamanweb itu masih dalam proses dikemaskini dan kesilapan tersebut akan diperbetulkan.