Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam diarah henti keluar kenyataan kritik K'tan, PAS

PAS mengarahkan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa supaya tidak lagi membuat sebarang kenyataan terbuka berhubung urusan dalaman parti Islam itu serta pentadbiran kerajaan Kelantan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan tersebut dipersetujui sewaktu pertemuan Jawatankuasa Dewan Harian PAS dengan bekas exco kanan kerajaan Kelantan itu petang ini.

“Kita juga bersetuju bahawa perkara-perkara yang melibatkan urusan dalaman parti, kerajaan negeri (Kelantan) dibuat dengan menggunakan platform parti dan diselesai mengikut saluran parti serta tidak diviralkan kepada umum.

“Kita juga bersetuju tidak akan ada sebarang kenyataan daripada beliau, kerajaan negeri yang boleh menimbulkan polimik.

"Beliau sudah bersetuju tidak akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu sehingga kes ini diselesaikan secara dalaman," kata Tuan Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat PAS.

Tuan Ibrahim turut mengesahkan bahawa Jawatankuasa Dewan Harian PAS menerima dokumen dan bukti berhubung dakwaan Husam terhadap kerajaan negeri dan parti.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan menelitinya dalam masa terdekat dan setakat ini tiada ada sebarang tindakan terhadap ADUN Salor itu.

"Kita juga telah menerima segala dokumen serta bukti daripada beliau dan pertemuan hari ini sangat baik.

"Hari ini (juga) tidak ada sebarang keputusan dibuat terhadap beliau sebab ini bukan jawatankuasa disiplin," katanya .

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata segala penjelasan dan bukti yang dikemukakan oleh Husam akan disiasat dengan teliti.

Malah, MP Kota Bharu yang juga seorang peguam berkata beliau tidak menolak kemungkinan Husam akan dipanggil semula bagi memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu.

"Apa yang diserahkan Husam mengenai ulasan beliau tentang kerajaan negeri dan semasa kita minta beliau datang kita telah minta beliau bawa sekali dokumen yang menyokong dakwaan tersebut.

"Parti akan teliti bukti yang dikemukakan itu dan jika dirasakan perlu kita akan panggil Husam semula," katanya.

Lihat Komen
ADS