Orang politik dan mereka yang berpengaruh didakwa mendalangi kegiatan bot laut dalam mendaratkan hasil tangkapan mereka di Thailand yang sudah lama berlaku.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kelantan (Peneka), Elias Hassan berkata, pihak berkuasa temasuk Jabatan Perikanan yang mengeluarkan lesen tangkapan laut dalam tidak dapat berbuat apa-apa terhadap kegiatan tersebut.

"Kegiatan orang politik dan orang berpengaruh yang menyewakan lesen mereka kepada tauke bot dari Thailand sudah begitu lama berlaku di Kelantan. Ia akan terus berlaku kerana dalangnya adalah orang besar," katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan negara mengalami kerugian yang besar kerana masih ramai nelayan yang mendaratkan hasil tangkapan mereka ke pelabuhan-pelabuhan perikanan di Thailand.

Elias berkata, adalah dianggarkan 50 hingga 100 bot besar yang memuatkan 200 tan metrik hasil tangkapan, terutama ikan mendaratkan tangkapan tersebut di Thailand setiap hari.

"Kalau tidak mendaratkan bot mereka di Thailand, mereka menjualkan hasil tangkapan kepada tauke ikan Thailand di perairan antarabangsa dan kegiatan ini semakin berleluasa," tambahnya.

Seludup diesel

Katanya, sebahagian besar orang politik dan orang besar yang menyewakan lesen bot laut dalam mereka kepada tauke Thailand itu bukan orang Kelantan tetapi dari Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain.

"Sesetengah bot itu juga terlibat dengan penyeludupan diesel dari Kelantan ke Thailand. Bot menyeludup diesel dari Pengkalan Kubor dan dibawa ke pelabuhan perikan di selatan Thailand," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Jusoh Awang berkata, masalah pendaratan ikan di pelabuhan perikanan Thailand adalah masalah lama yang tiada kesudahannya.

"Selagi kita menyewa bot dari Thailand, kita terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negara mereka. Dalam kes ini penyewa terpaksa mengikut tauke," katanya.

Selain itu, kata Jusoh mereka juga memberikan alasan bahawa perairan tempatan kekurangan pelabuhan perikanan yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti kilang yang memproses ikan terbuang.

Bagaimanapun, Nekmat melihat alasan itu terlalu remeh dan sengaja diadakan oleh pengusaha Thailand kerana mereka memang tidak mahu mendaratkan bot mereka di Malaysia.

Syarat baru

"Di Kedah ada lima pelabuhan perikanan, di Johor 13 dan di Terengganu dan Kelantan juga mencukupi. Nekmat akan membina 10 kilang memproses ikan tahun depan bagi memenuhi keperluan tersebut," katanya.

Menurutnya, kegiatan seumpama itu memberikan kerugian yang cukup besar kepada sumber perikanan negara setiap tahun.

Bagaimanapun, mulai tahun depan Jabatan Perikanan membuat keputusan untuk tidak lagi membenarkan lesen bot laut dalam disewakan kepada tauke Thailand atau negara lain.

Keputusan ini dibuat bagi menghalang penyelewengan tersebut dan mensyaratkan pemilik yang mahu memperbaharui lesen mereka perlu mengusahakan sendiri bot laut dalam.

"Nekmat sendiri telah membuat permohonan kepada Jabatan Perikanan untuk mendapatkan 50 lesen bot laut dalam berkelas tinggi yang boleh memuatkan sehingga 200 tan metrik ikan dan boleh berada di lautan selama berbulan-bulan," katanya lagi.

Beliau berkata, kos untuk membeli sebuah bot laut dalam yang besar ialah RM1.7 juta tetapi bakal memberi pulangan dalam masa beberapa tahun beroperasi.

Jumlah nelayan tempatan sekarang ialah kira-kira 100, 000 dengan 60,000 menjadi ahli Nekmat, katanya.