Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah menafikan laporan media yang memetiknya sebagai menggesa supaya tahanan yang disyaki anggota Jemaah Islamiah (JI) diasingkan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang lain.

"Saya tidak pernah membuat sebarang perakuan supaya tahan JI diasingkan," katanya ketika dihubungi semalam.

Hamdan dan seorang lagi Pesuruhjaya Suhakam Datuk N Siva Subramaniam telah dipetik oleh akhbar New Straits Times dan Berita Harian sebagai berkata yang ianya penting untuk mengasingkan tahanan yang disyaki terbabit dalam keganasan.

Hamdan juga didakwa menyamakan tahanan tersebut dengan watak 'McGyver'.

(McGyver merupakan satu siri TV popular pada tahun 1980-an mengenai seorang mata-mata gelap yang bijak menggunakan pelbagai barangan harian untuk membebaskan dirinya).

"Saya tidak berkata begitu. Saya hanya memberitahu mereka (wartawan) bahawa pegawai penjara memberitahu saya bahawa tahanan tersebut berlagak seperti McGyver," katanya.

Betulkan laporan

Hamdan menggesa akhbar-akhbar berkenaan supaya memperbetulkan laporan mereka, sambil menegaskan beliau tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan lanjut.

"Saya rasa Suhakam mempunyai banyak lagi perkara penting lain yang perlu dilakukan," tegasnya.

Hamdan juga menafikan yang beliau telah merujuk kepada tahanan JI sebagai 'pengganas' sepertimana dalam laporan tersebut.

Katanya, Suhakam juga bukan dalam kedudukan untuk mengklafikasikan siapakah 'pengganas' kerana hanya pihak polis yang boleh berbuat demikian.

"Pihak polis belum membuat sebarang keputusan mengenainya. Jika tidak, sudah tentu tahanan tersebut sudahpun didakwa," tambahnya.

ISA membolehkan pihak berkuasa untuk menahan tanpa bicara, mereka yang disyaki mengancam keselamatan negara, di Kem Tahanan Kemunting di Perak.

Minggu lalu, satu rusuhan berlaku di kem tersebut apabila 12 tahanan JI menghalangkan pegawai di situ membuat pemeriksaan di blok mereka.

Pihak kem kemudiannya menemui, antara lain, beberapa peralatan yang didakwa sebagai senjata buatan sendiri dan telefon bimbit daripada tahanan berkenaan.