PAS bantah Singapura guna ruang udara Malaysia
Parti pembangkang, PAS, hari ini mengingatkan kerajaan bahawa sebarang persetujuan membenarkan pesawat pejuang Singapura menggunakan ruang udara Malaysia, akan mengancam kedaulatan negara ini kerana mendakwa Singapura adalah agen Amerika Syarikat.
Parti pembangkang, PAS, hari ini mengingatkan kerajaan bahawa sebarang persetujuan membenarkan pesawat pejuang Singapura menggunakan ruang udara Malaysia, akan mengancam kedaulatan negara ini kerana mendakwa Singapura adalah agen Amerika Syarikat.
Selepas mengadakan pertemuan Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kanan republik itu, Goh Chok Tong membayangkan bahawa pesawat pejuang Singapura mungkin dibenarkan menggunakan ruang udara Malaysia sebagai sebahagian daripada rundingan untuk menyelesaikan pertikaian antara kedua negara jiran itu.
Menurut PAS, Singapura sudah 'beberapa kali mengancam untuk melancarkan perang terhadap jirannya,' sambil menambah 'jika kita benarkan mereka menggunakan ruang udara kita, apa lagi yang akan jatuh ke tangan Singapura?".
"Malaysia patut sedar bahawa Singapura adalah agen kuasa-kuasa besar di rantau ini. Ia mempunyai hubungan pertahanan dengan Amerika dan Israel," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP), Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan.
Goh memberitahu sidang media bersama Abdullah Isnin lalu bahawa Malaysia akan menimbang membenarkan ruang udaranya digunakan oleh pesawat pejuang Singapura itu dan sebagai gantinya, republik itu akan membenarkan pengeluaran dana tabung persaraan berjumlah RM2 bilion kepada rakyat Malaysia yang pernah bekerja di sana.
Bagaimanapun, Salahuddin berkata Abdullah tidak sepatutnya bertindak tergesa-gesa untuk 'menyerahkan kedaulatan negara kepada Singapura hanya untuk mendapatkan beberapa bilion ringgit."
Hubungan tidak rapat
Contohnya, kata beliau, mengenai pertikaian berhubung pemilikan sebuah pulau kecil di mana Singapura telah mendakwa pulau itu miliknya selepas Malaysia membenarkan republik itu membina bangunan di situ.
Pertikaian itu telah dirujukkan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague untuk diadili.
Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu yang dipisahkan oleh selat Teberau di Johor, tidak rapat sejak Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965.
Tetapi selepas persaraan Dr Mahathir Mohamad tahun lalu, wujud tanda-tanda yang menunjukkan hubungan Malaysia-Singapura semakin baik.
Antara lain pertikaian tersebut membabitkan harga penjualan air ke republik itu, mengenai tanah milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sana, serta cadangan pembinaan jambatan baru bagi menghubungkan kedua-dua negara tersebut.
Rundingan mengenainya menemui jalan buntu sewaktu pemerintahan Dr Mahthir pada 2002, tetapi selepas beliau bersara, Abdullah telah mengambil pendekatan diplomatik untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.

