Dua Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dan Saifuddin Nasution mengambil keputusan tidak akan bertanding mempertahan jawatan masing-masing dalam pemilihan pertama parti itu hujung minggu ini.

Setiausaha Agung PKR, Mustapha Kamil Ayub berkata kedua-dua pemimpin tersebut yang juga dikenali sebagai reformis, tidak menerima pencalonan untuk mempertahankan jawatan mereka.

Selepas pencalonan ditutup semalam, enam orang telah menyatakan persetujuan mereka untuk menerima pencalonan bagi mengisi jawatan naib presiden itu.

Katanya, Saifuddin juga menolak pencalonan sebagai ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

"Mereka yang menerima pencalonan bagi jawatan naib presiden ialah Azmin Ali, bekas mufti Pulau Pinang Sheikh Azmi Ahmad, R Sivarasa, N Gobalakrishnan, Abdul Rahman Yusof dan Dr Lee Boon Chye," kata Mustapha dalam sidang media di ibupejabat PKR di Shah Alam hari ini.

Tien dan Saifuddin merupakan dua pemimpin penting sewaktu penubuhan Parti Keadilan Nasional, sebelum parti itu bergabung dengan Parti Rakyat Malaysian (PRM) pada 3 Ogos tahun lalu.

Sedia berkhidmat

Saifuddin ketika dihubungi enggan menyatakan sebab-sebab mengapa beliau menolak pencalonan untuk bertanding jawatan naib presiden dan ahli MPT.

"Saya masih lagi ahli parti...jadi tidak banyak yang berubah," katanya.

Ditanya apakah beliau tidak risau sekiranya tindakannya itu akan disalahertikan, katanya beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Orang mungkin bercakap, tetapi saya tahu khabar angin dan spekulasi adalah antara cabaran yang perlu saya hadapi sebagai seorang ahli politik...saya sedia menghadapinya," katanya.

Tian, bagaimanapun, berkata beliau mengambil keputusan menolak pencalonan it u kerana mahu ahli-ahli faham bahawa pemimpin tidak seperti pemimpin parti lain tidak mementingkan jawatan dalam parti.

"Jawatan naib presiden tidak penting. Apa yang penting ialah saya masih boleh berkhidmat untuk parti. Saya rasa, mereka yang turut menolak pencalonan, termasuk Saifuddin juga begitu. Jadi, keputusan kami tidak sepatutnya memeranjatkan sesiapa pun.

"Saya bersedia untuk terus berkhidmat dalam parti, tidak kira dalam apa kapasiti sekalipun. Hanya kerana saya tidak menjadi naib presiden, tidak bermakna saya tidak boleh lagi membantu pihak parti," tambahnya.

Menurut Tian lagi, beliau berharap para perwakilan cukup matang untuk memilih barisan kepimpinan pelbagai kaum supaya parti itu dapat menarik minat pengundi dari kalangan profesional, bukan Melayu dan kelas pertengahan.

"Sebagai sebuah parti yang mengamalkan dasar-dasar baru, kita hendaklah menghantar mesej yang positif kepada penyokong kita.

"Saya tidak malu untuk mengatakan bahawa saya telah berusaha bersungguh-sungguh supaya orang seperti Sivarasa dan Dr Lee berada di barisan hadapan kerana saya percaya mereka boleh menarik lebih ramai menyertai parti ini," katanya.

Peluang sama rata

Di sidang akhbar tersebut, Mustapha berkata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dr Wan Azizah Wan Ismail akan disahkan sebagai presiden PKR apabila perwakilan bersidang Sabtu ini. Semua bahagian sebulat suara mencalonkan beliau untuk jawatan tersebut.

Pengerusi tetap, Abdul Rahman Kader juga menang tanpa bertanding.

Jawatan Timbalan Presiden pula akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya Dr Syed Husin Ali dengan Abdul Rahman Othman (ahli MPT).

Mustapha bagaimanapun enggan memberitahu jumlah pencalonan yang diterima oleh kedua-dua calon tersebut.

Beliau berkata, pihak parti berpendapat maklumat itu tidak perlu diumumkan supaya setiap calon mempunyai peluang yang seimbang dalam pemilihan kali ini.

Katanya, sejumlah 52 calon akan bertanding untuk merebut 20 kerusi MPT. Ini termasuk majoriti ahli MPT sekarang yang mahu mempertahankan jawatan masing-masing.

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh pula akan dicabar oleh ahli MPT Animah Annette Ferrar.

Pemilihan jawatan timbalan ketua wanita pula akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Penyandangnya Irene Fernnadez Zuraida Kamaruddin dan Zainon Jaafar.

Menurutnya, perjalanan pemilihan kali ini akan diawasi oleh sebuah jawatankuasa lima anggota yang diketuai oleh bekas Ahli Parlimen Kampar yang juga penganalisa politik, James Wong Wing On.

"Jawatankuasa tersebut akan membantu memastikan semua calon dan penyokong mereka mematuhi etika pemilihan yang berkuatkuasa mulai 17 Oktober lalu," kata Mustapha.

Persidangan tersebut akan berlangsung Sabtu ini, sehari selepas persidangan Wanita dan Angkatan Muda parti itu, di Dewan Tow Boo Keong di Ipoh. Seramai 1,600 perwakilan dijangka menghadirinya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan selaku penasihat PKR.