Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menafikan spekulasi bahawa syarikat itu sedang menghadapi tindakan perindustrian dari juruterbangnya selepas 13 daripada mereka dilaporkan mengambil cuti sakit sehingga menjejaskan jadual penerbangan.

Sebaliknya beliau mempersalahkan sistem penjadualan baru sebagai punca masalah.

"Hari yang pelik dengan sistem jadual baru dan 11 juruterbang tidak sihat untuk melakukan penerbangan malam," katanya yang dipetik The Star Online.

Menurut beliau AirAsia tidak mempunyai kesatuan sekerja, jadi tidak timbul soal mogok.

"Saya berbangga dengan semua juruterbang saya yang sangat profesional. Semuanya kembali seperti biasa di KLIA2 hari ini," katanya.

Semalam, beratus-ratus penumpang yang dalam perjalanan ke Kota Baru, Tawau, Don Mueang, Chiang Mai dan Jakarta terkandas di terminal kos rendah itu.

Beberapa penerbangan juga dibatalkan manakala ada pula terpaksa ditangguhkan.

Ia selepas penyiasat Indonesia mengeluarkan penemuan yang mendakwa komponen pesawat yang rosak dan kesilapan anak kapal sebagai punca nahas udara AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang meragut 162 orang.

Pesawat jenis Airbus A320 itu terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember tahun lalu ketika dalam penerbangan dua jam dari bandar kedua terbesar di Indonesia, Surabaya ke Singapura.

[Baca berita penuh]