Boleh dikatakan semua pengguna perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), monorel dan komuter ternyata kecewa dengan kenaikan kadar tiket yang naik mulai semalam.

Dalam tinjauan Malaysiakini di KL Sentral, semua pengguna yang ditemui mengeluh dan agak 'keliru' dengan perkembangan berkenaan kerana kerajaan sebelum ini pernah menyarankan penggunaan pengangkutan awam sebagai langkah mengurangkan beban perbelanjaan harian.

Tanggapan pada minit-minit terawal di stesen berkenaan cukup untuk menggambarkan gelisah pengguna.

Di kawasan yang memisahkan stesen LRT dan komuter, suasana seolah-olah di dalam pasar apabila pengguna menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan kenaikan tambang itu.

Pertambahan kos pengangkutan itu berlaku ketika orang ramai baru saja dimaklumkan mengenai kenaikan kadar tol beberapa lebuh raya dalam negara.

Struktur tambang baru untuk LRT dan monorel menyaksikan 79 peratus penumpang berdepan dengan peningkatan perbelanjaan untuk pengangkutan.

Mahasiswa kolej swasta Noor Farah Dina Fasha ( gambar, kiri ) berkata, kadar baru yang dikenakan tidak sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan.

Malah, katanya, pada hari pertama kadar itu dikuatkuasakan, hanya ada satu kaunter sahaja yang dibuka untuk melayan pengguna sedangkan ketika itu dianggap waktu puncak.

“Saya dari Kajang ke KL Sentral, biasanya bayar RM2.50, tetapi hari ini jadi RM3.50. Kenaikan ini memang tidak patut.

“Perkhidmatan pula tidak memuaskan kerana hanya satu kaunter yang dibuka. Mereka tahu pelanggan ramai dan sepatutnya pihak pengurusan menyedari keperluan ini," katanya.

Lebih dikesali, lkata Noor Farah Dina, ada antara pengguna yang berbaris itu terdiri daripada warga emas yang terpaksa menunggu lama untuk membeli tiket.

Tak galakkan orang awam

Nur Ellani Abdul Wahab pula berkata, kenaikan tersebut tidak wajar memandangkan kebanyakan pengguna yang menaiki LRT dan monorel adalah golongan berpendapatan rendah.

Katanya, dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, kerajaan sewajarnya menangguhkan dulu kenaikan berkenaan.

“Sangat membebankan, kerana saya masih belajar. Bagaimana ia boleh berlaku ketika kemudaian infrastruktur masih sama tetapi harga mahu ditambah.

“Ramai pengguna LRT dan monorel adalah kumpulan berpendapatan rendah dan pelajar. Sepatutnya kajilah dulu sebelum naikkan tambang,” katanya.

Bagi pelajar jurusan perubatan, Noor Fatin Amira Noor Amri, dia mengaku terkejut dengan kenaikan yang dianggapnya mendadak.

Katanya, kenaikan tambang itu menunjukkan kerajaan seperti tidak menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Pada masa sama, jelas Noor Fatin Amira, perkhidmatan itu mungkin boleh dilanjutkan sehingga 24 jam sehari bagi memudahkan pengguna sepertinya yang terpaksa pulang pada tengah malam.

“Saya minta perkhidmatan pengangkutan awam disediakan 24 jam sehari," katanya yang berusia 22 tahun.

Jurutera syarikat swasta, Amiruddin Mohd Tajudin pula membangkitkan keadaan dihadapi pengguna kemudahan kad bulanan.

Beliau yang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari dari Taman Melati ke KL Sentral berkata, kenaikan yang dialaminya melebihi 50 peratus.

"Walaupun diskaun diberikan kepada pengguna kad bulanan, ia masih mahal dan sistem pelaksanaannya berbeza daripada sebelum ini," katanya.

Menjelaskan maksudnya, Amiruddin berkata, kad bulanan sebelum ini membenarkan pemiliknya melakukan perjalanan tanpa had sepanjang tempoh ia diperakui sah.

"Kini setiap kali saya menaiki LRT, kadar prabayar saya dalam kad bulanan akan dipotong.

"Harga yang dikenakan memang lebih rendah berbanding bayaran tunai, tetapi apabila kadar itu habis sebelum tempoh yang dibenarkan, saya perlu membuat isian semula," katanya.

Lebih 50 peratus membebankan

Menurut Amiruddin, dia menggunakan kemudahan LRT lima hari seminggu untuk perjalanan dari Taman melati ke KL Sentral.

Sebelum kenaikan berlaku, kos yang dikeluarkan ialah RM2.30 manakala sejak 2 Disember lalu kadar baru tambangnya ialah RM3.40.

“Bukan saya kata tak boleh naik tambang. Boleh, tapi janganlah tinggi sangat. Ini dah lebih 50 peratus, membebankan," katanya.

Bagi mahasiswa Universiti Teknologi Petronas Fariz Fadzuan Fahmi, dia melihat apa yang berlaku kini sebagai 'rompakan' oleh pihak berkuasa terhadap pengguna pengangkutan awam.

Beliau dengan nada keras berkata semakin hari hidup golongan berpendapatan rendah terus tertekan.

“Nampak seperti kerajaan tiada wang. Apabila tak ada duit, mereka ambil daripada rakyat dengan memotong subsidi.

“Kita minta kerajaan tambah baik perkhidmatan pengangkutan awam tapi suara rakyat tak dipeduli.

"Kerajaan cakap mereka mendengar keluhan rakyat, tapi kalau sekadar mendengar tanpa berbuat apa-apa pun tak berfaedah juga," kata mahasiswa jurusan kejuruteraan petroleum itu.

Mengikut struktur baru tambang LRT, pengguna dicaj 30 sen setiap kilometer untuk empat kilometer pertama, manakala bagi jarak 4.1km hingga sembilan kilometer, kadarnya ialah 26.4 sen setiap kilometer.

Untuk perjalanan dari 9.1km hingga 14km, tambangnya ialah 21.5 sen bagi setiap kilometer.

Bagi 14.1km hingga 19km, tambang menjadi 18 sen perkilometer dan 19.1 km hingga 24km, 14.4 sen perkilometer dikenakan.

Untuk perjalanan melebihi 24km, tambang akan dikenakan sebanyak 10.8 sen perkilometer.

Kadar baru bagi monorel pula ialah 58.8 sen satu kilometer untuk empat kilometer pertama dan 37.2 sen perkilometer untuk 4.1km hingga sembilan kilometer.

Kenaikan tambang komuter pula ialah dari 11 sen per kilometer hingga 15 sen per kilometer.