Jawapan Zahid hanya buang masa sahaja, kata DAP
DAP hari ini mengutuk penjelasan selama hanya tiga minit Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kemelut derma RM2.6 bilion yang berada di akaun Datuk Seri Najib Razak sebagai satu pembaziran masa.
Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong juga membidas perdana menteri kerana tidak berani menjawap segala tuduhan yang terpalit dengan dirinya itu dan berkata, Najib sepatutnya diheret kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Parlimen.
"Saya rasa ia satu pembaziran masa. Perdana Menteri sepatutnya menjelaskan perkara itu (isu derma RM2.6 bilion) kepada Parlimen.
"Jika ada orang yang perlu dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, ia seharusnya adalah perdana menteri," kata Liew yang juga adalah pengarah pendidikan politik DAP kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

