Kerajaan negeri dibayar royalti air setiap tahun
Semua negeri termasuk Kelantan setuju menyerahkan pengurusan bekalan air kepada Kerajaan Pusat kerana mereka akan mendapat bayaran royalti setiap tahun.
Semua negeri termasuk Kelantan setuju menyerahkan pengurusan bekalan air kepada Kerajaan Pusat kerana mereka akan mendapat bayaran royalti setiap tahun.
Bagaimanapun, jumlah royalti itu akan ditentukan kemudian tetapi berdasarkan kepada sumber air dan penggunaan sesebuah negeri.
Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, semua negeri termasuk Kelantan telah setuju supaya pengurusan air di negara ini diambilalih oleh Kerajaan Pusat.
Berikutan itu Kerajaan menubuhkan Sekuriti Pengurusan Air Negara (Span) untuk menguruskan air di seluruh negara mulai tahun depan..
"Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan wakil-wakil kerajaan negeri di Putrajaya pada bulan Oktober lalu," kata kepada malaysiakini .
Sebelum ini Kelantan dikatakan enggan menyerahkan pengurusan bekalan air kepada Kerajaan Pusat kerana air merupakan salah satu sumber pendapatan kepada negeri tersebut.
Mulai tahun depan juga, harga tarif air semua pengguna baik untuk komersil, pertanian mahupun kegunaan rumah, akan ditentukan oleh Kerajaan Pusat.
Kadar caj diseragam
Span yang ditubuhkan baru-baru ini akan menyeragamkan bayaran bil air kepada pengguna seperti yang dilakukan oleh Telekom dan Tenaga Nasional Berhad.
Penyeragaman yang dimaksudkan itu ialah tiada perbezaan ketara kadar caj bekalan air di antara satu negeri dan satu negeri yang lain, seperti yang berlaku sekarang.
Pada masa ini pengurusan air di seluruh negara yang sebelum ini diuruskan oleh kerajaan negeri masing-masing melalui anak syarikat milik kerajaan negeri atau diswastakan kepada pihak lain.
Penubuhan Span yang akan diletak di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Telekomunikasi, adalah ide Perdana Menteri.
"Sesetengah kerajaan negeri tidak dapat menguruskan bekalan air dengan baik kerana kos yang tinggi sedangkan pendapatan tidak seberapa kerana masalah bayaran yang tertunggak," katanya.
Pahang umpamanya membelanjakan RM500 juta setahun untuk pengurusan air di negeri itu termasuk menggantikan paip lama yang berusia antara 30 dan 40 tahun melibatkan 12,000 kilometer.
Bagaimanapun, kata Shaziman lagi, pihaknya akan berunding dengan semua kerajaan negeri tidak lama lagi bagi menentukan kadar bayaran royalti yang akan dibayar oleh Kerajaan Pusat.
Tumpuan di Lembah Klang
Dewan Rakyat akan mengadakan sidang khas Januari ini untuk meluluskan pindaan perlembagaan mengenai perkara tersebut.
Shaziman berkata, Kerajaan Pusat akan membelanjakan kira-kira RM15 bilion untuk menggantikan paip lama di seluruh negara mulai tahun depan.
Katanya, tumpuan utama kerja penggantian paip itu adalah di kawasan Lembah Kelang kerana penggunaan air yang besar kerana pertambahan penduduk dan kemajuan perdagangan dan perniagaan.
"Kerajaan akan melakukan kerja-kerja tersebut secara berperingkat kerana ia melibatkan kewangan yang besar membabitkan 92 ribu kilometer saluran paip untuk disambungkan ke rumah, kilang dan pusat perniagaan," ujarnya.
Beliau berkata, penggantian paip itu menjadi keutamaan memandangkan sesetengah paip yang ada sekarang, sudah berusia melebihi 20 tahun dan berkarat.
Mengenai kerugian akibat kehilangan air, Shaziman berkata, antara 40 dan 50 peratus bekalan air hilang, sama ada dicuri ataupun akibat kebocoran paip dan menyifatkannya sebagai satu kerugian yang besar kepada negara.
Katanya, Span akan meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung kehilangan air tersebut untuk memastikan pelaburan besar dalam membekalkan air kepada rakyat mendapat pulangan sewajarnya.

