Menulis di media: Ali Bukhari perlu kelulusan USM terlebih dahulu
Pelajar jurusan komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang disoalsiasat berhubung tulisannya dalam Berita Kampus dan Harakah diarahkan supaya tidak mendedahkan perjalanan siasatan terhadapnya.
Pelajar jurusan komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang disoalsiasat berhubung tulisannya dalam Berita Kampus dan Harakah diarahkan supaya tidak mendedahkan perjalanan siasatan terhadapnya.
Ali Bukhari Amir, yang menulis untuk Berita Kampus , juga diberitahu, semua tulisannya untuk media pada masa depan, hendaklah diluluskan oleh pihak universiti terlebih dahulu.
Sumber USM memberitahu malaysiakini semalam, Ali telah disoalsiasat hampir dua jam berhubung tulisannya dalam Berita Kampus dan Harakah masing-masing bertarikh 27 September dan 31 Ogos lalu.
Ali juga berulangkali ditanya sama ada dia sedar yang tulisannya itu telah menjejaskan imej universiti.
Menurut sumber itu lagi, Ali pula berkeras mengatakan 'dia tidak menjejaskan imej universiti', dan mahu tahu 'siapakah' yang sebenarnya berbuat demikian.
Ali disoalsiasat mengenai niatnya menulis dalam Berita Kampus mengenai keputusan pilihanraya kampus baru-baru ini.
Dia juga ditanya mengapa dia tidak memetik kenyataan Timbalan Canselor Bahagian Pembangunan dan Halehwal Pelajar, Profesor Madya Jamaludin Mohaiadin mengenai siapa yang memenangi pilihanraya kampus September lalu.
Mengenai soalan tersebut, Ali dikatakan menjawab, dia tidak dapat menghubungi Jamaludin dan oleh itu dia menggunakan maklumat daripada sumber-sumber yang layak dipercayai.
Pembabitan aktif
Soalsiasat itu juga tertumpu kepada pembabitan aktif Ali dalam menulis untuk media kampus dan media-media lain.
Menurut sumber itu lagi, Ali minat menulis mengenai isu-isu sosial yang dianggapnya penting seperti usaha mewujudkan suasana sesuai bagi melahirkan intelektual di USM.
Ali juga mendakwa dalam tulisannya yang disiarkan dalam Harakah bahawa USM tidak menyediakan persekitaran yang sesuai untuk menghasilkan pemimpin intelektual.
Dalam tulisannya dalam Harakah , Ali mendakwa USM telah mengambil keputusan di mana ahli Majlis Penghuni Desasiwa (MPD) akan datang, akan dilantik oleh Bahagian Pembangunan dan Halehwal Pelajar dan tidak lagi melalui pemilihan.
Manakala tulisannya dalam Berita Kampus pula bertajuk "Idealisma Mahasiswa menang tipis 19-18 kepada Aspirasi".
Mengikut sumber itu lagi, jawatankuasa siasatan belum lagi membuat sebarang keputusan muktamad dalam kes Ali, tetapi dia mungkin dipanggil lagi jika perlu.
Jawatankuasa tersebut dianggotai Ketua Bahagian Keselamatan, Noor Rizan Khalid; Penolong Kanan Pendaftar Bahagian Pembangunan dan Halehwal Pelajar, Nazru Ismail yang juga warden Kolej Kediaman Aman-Damai; Timbalan Dekan Kajian Komunikasi dan Pembangunan Pelajar, Mohamad Haji Md Yusoff; dan Penolong Pendaftar Bahagian Pembangunan dan Halehwal Pelajar, Haryani Hasenan.
Ketika dihubungi semalam, Noor Rizan enggan mengulas mengenai hasil soalsiasat terhadap Ali. Anggota lain juga tidak dapat dihubungi.

