Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan membuat pernyataan jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain dalam desakannya supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Beliau dituduh membuat pernyataan itu dengan menggunakan aplikasi internet menerusi ucapannya yang disiarkan di laman blog miliknya.

Bekas pemimpin Umno yang berusia 64 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh didenda maskimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau diwakili oleh peguam M Puravalen dan Amarjit Sidhu.

Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah, bekas menteri Umno itu berkata keputusan mahkamah untuk membenarkannya dilepaskan tanpa ikat jamin adalah 'betul' dan 'baik'.

"(Ia) keputusan yang amat tepat. Satu keputusan yang sangat baik," kata Zaid.

Hakim juga menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes.

[Baca berita penuh]