Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Noh Omar akan disaman kerana'memungkiri janjinya' untuk membebaskan dua tahanan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, kata peguam mereka, M Manoharan.

Noh, ketika dihubungi enggan mengulas mengenainya dan hanya menegaskan yang 'kata-katanya' telah 'diputarbelit' sewaktu beliau berjumpa peguam tersebut di Putrajaya tiga minggu lalu.

Manoharan bertemu Noh selepas dua tahanan tersebut - Balakrishnan Appala Naidu dan Michael Soosai - menamatkan mogok lapar mereka selepas pihak kerajaan membayangkan kesediaannya untuk mengkaji semula tahanan mereka di situ.

Kedua-duanya yang ditahan sejak 29 April lalu kerana disyaki terbabit dalam kes samseng, adalah antara 236 tahanan yang mengadakan mogok lapar di pusat tersebut.

Mereka ditahan mengikut Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1967 yang membenarkan pihak berkuasa menahan orang yang disyaki tanpa bicara.

Dakwaan tidak benar

Manoharan menafi sekeras-kerasnya dakwaan timbalan menteri itu yang 'kata-katanya' telah 'diputarbelitkan'.

"Noh berbohong dan memungkiri janjinya. Beliau secara khusus memberitahu saya bahawa beliau dilantik oleh rakyat dan untuk rakyat," kata Manoharan ketika dihubungi.

Sebaliknya, katanya, beliau tahu sekarang bahawa Noh adalah untuk polis dan bekerjasama dengan mereka.

Sewaktu pertemuan tersebut, kata Manoharan, Noh bersetuju membebaskan kedua-dua tahanan itu apabila dokumen yang membuktikan perintah tahanan mereka tidak sah, diserahkan kepadanya.

Antara dokumen tersebut ialah surat daripada Pejabat Daerah Gombak yang mendedahkan bahawa pejabat itu tidak pernah mengeluarkan perintah penahanan Balakrishnan seperti yang didakwa.

Menurut Manoharan lagi, beliau telah menerima arahan khusus daripada isteri Balakrishnan N Rukumanidevi supaya menyaman Noh kerana memungkiri janjinya.

Rukumanidevi kini sedang dirawat di hospital selepas keguguran kandungannya Rabu lalu.

Keguguran

Menurut peguam itu lagi, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang kerana tekanan yang terpaksa dilalui oleh Rukumanidevi berikutan peristiwa tersebut.

Adik Balakrishnan Thirumoorty berkata kakak iparnya kurang selera makan berikutan apa yang berlaku, khususnya kebimbangannya mengenai kesihatan suaminya akibat mogok lapar tempoh hari.

"Abang saya dihantar semula ke pusat tahanan tersebut dua hari lalu selepas dirawat di Hospital Besar Johor Baru. Keadaannya tidak berubah, tetapi mereka tetap menghantarnya (ke pusat tahanan). Menurut doktor beliau sihat dan maklumat lain adalah untuk pengetahuan pihak berkuasa pusat tahanan itu sahaja," kata Thirumoorthy.

Balakrishnan, bekas ketua sebuah cawangan MIC, telah dimasukkan ke hospital tersebut untuk kali kedua kerana komplikasi kesihatan yang dialaminya selepas mengadakan mogok lapar selama 16 hari.

Isterinya keguguran untuk kali keduanya selepas kandungannya sebelum ini terjejas apabila Balakrishnan ditangkap pada tahun 1998.