Kokus Ahli Parlimen siasat pusat tahanan
Kokus Ahli Parlimen Malaysia mengenai Hak Asasi Manusia kini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk menghantar pasukan bagi menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Kem Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam.
Kokus Ahli Parlimen Malaysia mengenai Hak Asasi Manusia kini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk menghantar pasukan bagi menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Kem Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam.
"Kami tidak pasti berapa ramai yang akan menganggotai pasukan tersebut dan ianya bergantung kepada kelulusan kementerian berkenaan," kata Ketua Pembangkang Lim Kit Siang ketika dihubungi semalam.
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga adalah timbalan pengerusi badan tersebut yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz.
Kokus yang dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen itu akan menyiasat kejadian rusuhan oleh para tahanan di Kamunting baru-baru ini yang mengakibatkan beberapana tahanan dan pegawai kem itu cedera.
Kejadian itu dilaporkan berlaku apabila 12 tahanan, kesemuanya ditahan kerana disyaki terbabit dalam keganasan, menghalang kakitangan keselamatan kem itu memeriksa blok tahanan mereka.
Bagaimanapun, beberapa tahanan, keluarga serta peguam mereka mendakwa pihak berkuasa telah sengaja membesar-besarkan rusuhan tersebut dan juga melanggar hak asasi manusia seperti memukul tahanan terbabit.
Kem Kamunting di Perak itu menjadi pusat tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan seseorang itu ditahan tanpa bicara kerana disyaki mengancam keselamatan negara.
Mogok lapar
Mengenai pusat tahanan Simpang Renggam pula, Lim berkata pasukan itu akan menyiasat kejadian mogok lapar oleh 236 tahanan baru-baru kerana membantah penahanan berterusan mereka di situ.
Kokus hak asasi manusia itu adalah kokus ketiga yang ditubuhkan oleh Ahli Parlimen tahun ini. Dua lagi ialah badan ahli Parlimen mengenai Burma dan Selatan Thai.
Kokus hak asasi manusia itu turut dianggotai Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) and Dr Wan Azizah Ismail (PKR-Permatang Pauh). Manakala Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) dipilih sebagai setiausaha dan dibantu oleh Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).
"Dalam kokus ini, Barisan Nasional diwakili sebahagian besarnya oleh Umno. Kami menggalakkan lebih ramai ahli Parlimen menyertainya," kata Lim.
Kokus itu kini dianggotai secara sukarela oleh 22 daripada 219 ahli Parlimen. Ini termasuk Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) yang menganggotai ketiga-tiga kokus tersebut.
Nazri, menteri yang bertanggungjawab terhadap halehwal Parlimen, juga menganggotai ketiga-tiga kokus tersebut.
Menurut Lim, penubuhan kokus terbaru itu mencerminkan peranan ahli-ahli Parlimen dalam mengatasi soal-soal yang berkaitan dengan hak asasi manusia.
"Kami juga merancang untuk mengadakan forum dan bertukar-tukar pandangan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mengetahui masalah yang dihadapinya dalam melaksanakan tugas mereka berhubug soal hak asasi manusia," katanya lagi.

