Pemuda Umno WP bawa usul masalah kos hidup
Pemuda Umno Wilayah Persekutuan akan mengemukakan dua usul utama iaitu kos sara hidup dan projek rumah mampu milik dalam bandar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2015, Rabu ini.
Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata isu berkenaan dilihat semakin mendesak dan perlu ditangani segera dalam usaha membantu penduduk miskin bandar yang semakin ramai.
Katanya antara aspek yang dicadangkan adalah mewujudkan 'taska mampu milik' yang mengenakan caj bawah RM300 sebulan.
Berdasarkan kepada analisis Pemuda Wilayah Persekutuan, golongan berpendapatan rendah dan sederhana tinggal di kawasan ibu kota dengan kedua-dua ibu bapa bekerja menyebabkan masalah utama yang dihadapi ialah pengurusan anak-anak.
"Taska di ibu kota, paling minimum yang kami tinjau adalah RM500 sebulan seorang. Kalau mereka ada dua anak sudah RM1,000 sebulan, sedangkan pendapatan isi rumah bawah RM5,000. Ini sudah pasti membebankan mereka," katanya ketika ditemui Bernama.
Mengenai isu projek rumah mampu milik yang dibina di Kuala Lumpur, Mohd Razlan berkata Pemuda Wilayah Persekutuan akan meminta kerajaan meneliti beberapa aspek khususnya harga rumah berkenaan.
"Rumah mampu milik di Kuala Lumpur kesemuanya berharga RM300,000 ke atas. Dengan harga sebegitu, masih ramai golongan muda tidak dapat membelinya," katanya.
Beliau berkata projek rumah mampu milik perlu mengambil kira formula kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi memberi ruang kepada golongan berkenaan memperoleh hartanah di ibu kota.
Mengikut perancangan kerajaan bagi Wilayah Persekutuan, sebanyak 50,000 unit akan dibina di Kuala Lumpur, Putrajaya (20,000 unit) dan Labuan (10,000 unit) menjelang 2020.
- Bernama

