Tapak tanah bangunan Umno Sabah yang sedang dibina di pusat bandaraya Kota Kinabalu adalah sumbangan syarikat Accodon Sdn Bhd milik adik ipar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Manakala syarikat kontraktor yang membina bangunan 13 tingkat itu termasuk dua tingkat tempat letak kereta ialah Sabico Sdn Bhd, kata pengarah Accodon Sdn Bhd Mohd Sapawie Tussin ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri telah meluluskan pemohonan syarikatnya untuk mendapatkan tanah tersebut seluas lebih tiga hektar pada tahun 2001 sewaktu Datuk Chong Kah Kiat masih menjadi Ketua Menteri Sabah.

Mohd Sapawie yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata, tender projek pembinaan bangunan Umno negeri dibuat secara terbuka dan diperolehi oleh Sabico.

Menurutnya, Accodon memberi tanah itu kepada Umno sebagai tapak bangunannya dan sebagai gantinya, syarikat berkenaan akan mendapat sebahagian bangunan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum mempunyai sebarang perancangan bagaimana hendak memaju baki tanah tersebut.

Beliau memberitahu demikian ketika diminta mengulas surat pembaca dalam malaysiakini yang mendakwa 'ada yang tidak kena' dengan pembinaan bangunan Umno Sabah sehingga menjadi perbualan di Sabah.

Isu hangat

Antara lain, surat tersebut mempersoalkan mengapa Umno tidak mendirikan bangunan tersebut di tanahnya sendiri seluas dua hektar di Sembulan, dan siapakah yang menyelia pembinaan bangunan tersebut.

Penulis surat itu juga mempersoalkan siapakan pemilik sebenar bangunan tersebut dan sama ada wujud pertalian antara Umno Sabah dengan syarikat pemaju terbabit.

Pembinaan bangunan Umno Sabah ini menjadi hangat diperkatakan kerana ada pihak yang mendakwa para peniaga tidak senang apabila mereka diminta memberi sumbangan kewangan.

Menurut Mohd Sapawie lagi, pembinaan bangunan tersebut dijangka menelan belanja dalam lingkungan RM40 juta dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2007. Pada masa ini, pembinaannya adalah di tahap pemasangan cerucuk.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan Sapawie adalah pengarah syarikat tersebut. Seorang lagi pengarah dan pemegang saham dalam syarikat tersebut ialah Masrin Asi.

Sementara itu, seorang ketua Umno bahagian di Sabah yang enggan namanya disiarkan berkata, pembinaan bangunan itu diputuskan dalam mesyuarat Perhubungan Umno Negeri di Kota Kinabalu Julai lalu.

Katanya, semua ketua bahagian Umno di Sabah menyokong penuh pembinaan bangunan tersebut kerana ia mencerminkan kemantapan parti itu di Sabah.

"Pemilihan tapak pembinaan bangunan itu yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu ini dipersetujui dalam mesyuarat ketua-ketua bahagian tersebut," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini .

Fitnah kerana irihati

Beliau berkata, pembinaan bangunan Bangunan Umno Sabah itu adalah usaha secara berterusan Ketua Menteri untuk melihat mercu tanda Umno di negeri tersebut.

"Datuk Seri Musa sendiri yang mencari sumbangan kewangan daripada pelbagai pihak untuk membantu membina bangunan tersebut," tambahnya.

Menurutnya lagi, hanya sebahagian bangunan setinggi 13 tingkat akan digunakan sebagai pusat pentadbiran Umno negeri manakala selebihnya akan disewakan bagi menambah pendapatan parti.

Bendahari Umno Sabah, Datuk Hajiji Noor ketika dihubungi semalam mengatakan beliau sedang bercuti di Australia dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

"Tiada ada apa-apa yang salah dengan pembinaan bangunan tersebut, semuanya mengikut peraturan," katanya.

Ketua Menteri, Musa pula ketika dihubungi malaysiakini semalam menyifatkan laporan kononnya 'ada sesuatu yang tidak kena dalam pembinaan bangunan tersebut' sebagai satu pembohongan dan fitnah semata-mata.

"Mereka yang membuat cerita ini tidak mahu melihat Umno bertapak dengan kuat di Sabah. Orang ini irihati dengan Umno Sabah," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut tetapi mengatakan akan memberi penjelasan tidak lama lagi.