Zahid: Sokong kepimpinan, bukan wujud kumpulan serpihan

   

Anggota Umno perlu mendukung kepimpinan sedia ada dan tidak mewujudkan kumpulan kecil jika mahu parti itu terus kekal kukuh, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata tindakan anggota Umno yang cuba mewujudkan serpihan sokongan dan kumpulan kecil, kononnya untuk melontarkan pandangan berkaitan kepentingan parti, sebenarnya hanya melemah dan akan merosakkan parti itu.

"Kalau mahu parti kukuh, jangan ada serpihan dalam parti, supaya parti terus bersatu.

"Apa perlu mengadakan perjumpaan lain, di tempat lain, dengan kumpulan yang lain, dengan pemikiran yang lain dan pendirian yang lain," katanya semasa merasmikan pertandingan akhir pidato Piala Presiden Umno 2015, di ibunegara hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Malam tadi, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis "Bersama Timbalan Presiden Umno" di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru di ibunegara.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan anggota veteran parti Tan Sri Aziz Yassin.

Ahmad Zahid berkata: "Saya tidak mahu menyentuh sama ada orang itu masih hidup ataupun telah mati, tapi ingatlah.... tidak ada kumpulan di dalam Umno, tidak ada kumpulan yang menyokong itu dan ini, kita semua adalah ahli Umno," katanya.

Beliau berkata setiap pemimpin Umno pastinya menerima pelbagai ujian dan anggota parti perlu menilai bagaimana pemimpin berkenaan beristiqamah, konsisten dan mempunyai daya tahan dalam menghadapi setiap ujian.

"Sebab tidak ada pemimpin hebat yang tidak diuji. Kita memberikan dukungan kepada pemimpin terdahulu yang teruji... pemimpin tidak sehebat mana, yang menghebatkan pemimpin-pemimpin itu adalah kita yang di bawah, kita yang di akar umbi," katanya.

Katanya, pemimpin parti hari ini menghadapi cabaran yang lebih getir berbanding pemimpin sebelum ini kerana zaman ini lebih mencabar.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In