Perlembagaan Persekutuan memang memperuntukkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap orang Islam yang murtad, kata seorang pakar perlembagaan negara hari ini.

Ini kerana kebebasan beragama, sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 11, hendaklah dibaca bersama peruntukan dalam Perkarta 3(1) yang memberi status istimewa kepada Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, yang tidak berikan kepada agama-agama lain di negara ini.

Profesor undang-undang Abdul Aziz Bari, yang juga Timbalan Dekan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan di Universiti Islam Antarabangasa (UIA), menjelaskan demikian dalam kertas kerjanya di seminar mengenai "kebebasan beragama dan isu Murtad" di Kuala Lumpur.

"Struktur dan rangkakerja perlembagaan membenarkan mekanisme kawalan seperti itu. Mekanisme seperti itu tidak melanggar perlembagaan kerana perlembagaan meletakkan Islam dalam kedudukan istimewa berbanding dengan agama-agama lain," tambahnya.

Manakala Perkara 11 membenarkan penghayatan, amalan dan dakwah agama, ia (dakwah agama) juga terikat kepada batasan perundangan yang terdapat di dalam peruntukan empat dalam Perkara yang sama, kata Aziz lagi.

"Batasan-batasan ini termasuk larangan menyebarkan agama lain di kalangan umat Islam. Ini menunjukkan status istimewa yang diberikan kepada agama Islam dalam perlembagaan," katanya.

Dalam mempertahankan peruntukan seperti itu, Abdul Aziz memetik contoh-contoh perundangan di negara-negara lain seperti Perancis, Jerman, Turki dan Singapura, yang menurutnya, membenarkan kebebasan beragama tetapi melarang amalan poligami dan pemakaian purdah.

Kuatkuasa undang-undang terhadap orang murtad

Ini, kata Abdul Aziz, menunjukkan masyarakat sekular sekalipun, tidak begitu mudah membenarkan amalan kebebasan beragama atau mengiktiraf agama dan nilai-nilai kerohanian.

Dalam kontek Malaysia, katanya, usaha-usaha untuk menghalang kes murtad di kalangan orang Islam merupakan "soal dalaman yang tidak melanggar amalan kebebasan beragama kerana larangan tersebut tidak bermaksud untuk memaksa sesiapa memeluk Islam," katanya.

Ukuran amalan kebebasan beragama sepertimana yang terkandung dalam instrumen perundangan antarabangsa, termasuk Deklarasi Sejagat mengenai Hak Asasi Manusia, hanya boleh diterimapakai selepas diluluskan oleh Parlimen, kata Abdul Aziz.

"Terdapat isu-isu lain yang lebih mustahak seperti perbuatan menyeksa tahanan. Di segi perundangan (undang-undang terhadap kes murtad) adalah sama dengan proses mengutip zakat dan derma; penguatkuasaan perundingan Islam terhadap penganutnya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mahkamah di Malaysia perlu memperkukuhkan lagi iltizam mereka dalam melaksanakan peruntukan-peruntukan yang sedia ada dalam perlembagaan.

Manakala Prof Shamrahayu Abdul Aziz yang sependapat dengan Abdul Aziz berkata, terdapat enakmen yang mencukupi dalam mahkamah sivil dan syariah untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan bagi menyekat kes murtad di kalangan umat Islam.

"Fenomena ini merupakan cabaran besar yang mesti dihadapi oleh masyarakat Islam di Malaysia. Jenayah serius ini mesti disekat sebelum ia sampai ke tahap yang membimbangkan dalam masyarakat kita," katanya ketika membentang kertas kerjanya di seminar tersebut.