Wartawan bukan Islam disekat ke acara Puteri Umno
Wartawan bukan Islam tidak dibenarkan membuat liputan untuk pelancaran skuad agama Puteri Umno, yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Unit itu, dinamakan "Daulatkan Islam Agama Negara" (DIAN), ditubuhkan untuk mempromosikan Islam kepada generasi muda.
Skuad itu ditubuhkan susulan “krisis pemikiran” dan perpecahan umat Islam, menurut risalah yang disebar kepada anggota Puteri Umno.
Sebelum itu, beberapa wartawan bukan Islam dilarang daripada masuk ke acara yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
“Orang Islam saja boleh masuk.
“Saya tidak tahu sebabnya, saya hanya ikut arahan,” kata seorang anggota pasukan sukarelawan RELA yang mengawal pintu masuknya.
Ditanya sebab-sebabnya, mereka diberitahu bahawa penganjur berhak memutuskan siapa yang boleh menyertai acara itu.
“Tolong hormat (hak itu),” kata seorang lelaki yang enggan mendedahkan namanya.
Beliau berkata hanya mahu wartawan beragama Islam membuat liputan acara itu kerana pemahaman mereka berkaitan agama yang berbeza.
Sementara itu, seorang pegawai kepada Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata beliau enggan mengulas isu itu.
"YB tak nak komen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
