Masuk saja majlis pertama perhimpunan agung Umno, presidennya Datuk Seri Najib Razak terus mengambil kesempatan memperjelas dakwaan skandal terhadapnya termasuk isu derma RM2.6 bilion dan kontroversi berkaitan 1MDB.

Menurut Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Najib memperjelaskan acara itu dalam majlis taklimat presiden kepada pemimpin pusat, sayap parti dan pemimpin-pemimpin bahagian di ibu negara malam ini.

Majlis itu diadakan secara tertutup.

Najib antaranya, kata Zahid ( gambar ), menjelaskan bahawa penderma dari negara di timur tengah itu tidak meminta sebarang pulangan susulan sumbangan itu.

“Beliau (Najib) nyatakan pihak yang berikan derma dana politik telah diketahui oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan penjelasan telah pun diberikan.

“Pihak yang beri derma tidak perlukan sebarang pulangan,” kata Zahid dalam sidang media selepas tamat sesi di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) itu.

Mengenai 1MDB, Najib turut mempertahankan penjualan aset tenaganya kepada konsortium Cina dan Qatar yang menawarkan harga lebih tinggi berbanding Tenaga Nasional Bhd (TNB).

“(Jika) TNB diberikan peluang, ia akan jadi bailout (penyelamatan),” kata Zahid.

Zahid berkata, taklimat tertutup yang membuka tirai persidangan itu berjalan dalam suasana adik beradik.

Katanya lagi, perwakilan yang hadir memberikan reaksi positif terhadap penjelasan yang diberikan Najib.