Haron Din: Jangan takut membuat teguran
Ketua Penerangan PAS, Datuk Dr Haron Din meminta perwakilan yang menghadiri munaqashah parti (konvensyen khas) itu esok supaya tidak takut menyuarakan pandangan dan membuat teguran terhadap dasar dan kepimpinan parti.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Dr Haron Din meminta perwakilan yang menghadiri munaqashah parti (konvensyen khas) itu esok supaya tidak takut menyuarakan pandangan dan membuat teguran terhadap dasar dan kepimpinan parti.
"Kepada mereka yang menghadiri munaqashah, saya mahu memberitahu mereka yang kita mengadakan konvensyen tersebut supaya kita dapat menentukan dengan jelas halatuju parti.
"Untuk itu, kami (pemimpin parti) mahu mendengar apakah yang mereka mahu katakan atau cadangkan. Tiada siapapun yang boleh menghalang mereka bercakap," katanya ketika dihubungi.
Katanya, para perwakilan tidak perlu risaukan pandangan mereka disalahertikan kerana konvensyen itu adalah tertutup kepada semua media, kecuali akhbar rasmi parti, Harakah .
"Kami mahu berbincang secara terbuka mengenai isu dalaman parti, kritikan, pendekatan dan strategi. Itulah sebabnya ia diadakan secara tertutup. Mungkin bila konvesnyen ini berakhir pada hari Ahad, presiden parti akan mengeluarkan kenyataan media," tambahnya.
Haron, yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, menafikan dakwaan terdapatnya usaha oleh pihak tertentu untuk menghalang perwakilan daripada mengkritik kepimpinan parti.
Kebebasan bercakap
Lagipun, kata Haron, kebebasan untuk menyampai pandangan secara terbuka bukanlah sesuatu yang baru dalam parti itu.
"Saya tidak mengesan adanya usaha seperti itu. Tetapi saya percaya tiada sebab bagi mana-mana pemimpin untuk berbuat demikian kerana perwakilan sentiasa beradap sopan. Tidak kira bagaimana keras sekalipun kritikannya, mereka akan menyuarakannya dalam bahasa dan cara yang sopan.
"Kami tidak mempunyai tanggapan negatif terhadap mereka yang meluahkan rasa hati mereka sebelum ini, dan tidak mungkin kami akan memulakannya. Apa yang penting, sebagai pemimpin, kami dapat memahami mesej daripada ahli dan penyokong.
"Jika anda menghadiri muktamar kita yang baru lalu, setiap orang dibenarkan menyatakan pandangan mereka. Saya lebih suka menyifatkannya sebagai nasihat, bukan kecaman," tambahnya.
Haron berkata, konvensyen itu akan bermula dengan pembentangan laporan oleh tiga pemimpin utama parti itu, termasuk beliau sendiri. Dua lagi ialah Naib Presiden PAS - Datuk Mustafa Ali and Datuk Dr Hassan Ali.
"Datuk Mustafa akan membentangkan laporan postmortem pilihanraya umum lalu, manakala Datuk Hassan akan bercakap mengenai usaha memperkasakan parti. Saya pula akan bercakap mengenai pembentukan kepimpinan yang lebih berkesan untuk ulama," tegasnya.
Katanya, kepimpinan parti berharap dapat mengenalpasti semua faktor utama yang perlu diberi perhatian sebelum membawanya untuk disahkan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat dan Majlis Syura Ulama.
Isu Anwar
Sementara itu, pemimpin-pemimpin akar umbi berkata salah satu isu panas yang akan dibincangkan di konvensyen itu ialah hubungan parti itu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana ada rungutan yang tidak senang beliau memainkan peranan utama dalam barisan pembangkang.
Seorang pemimpin PAS bahagian dari Kuala Lumpur berkata, parti itu perlu memberi garispanduan yang jelas mengenai hubungannya dengan Anwar, yang ada kaitan dengan strategi parti itu.
Katanya, sehingga ini, walaupun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyatakan kesediaan parti itu bekerjasama dengan Anwar melalui gabungan pembangkang, tetapi pandangannya tidak dikongsi bersama oleh rakan-rakannya yang lain.
"Beberapa pemimpin utama parti telah membuat kenyataan yang negatif mengenai Anwar. Kenyataan mereka ini walaupun tidak dibuat secara terbuka telah mengelirukan kami kami di peringkat akar umbi," tambahnya.
Manakala seorang pemimpin Pemuda PAS Selangor berkata, beliau mendapat isyarat yang bercampur-campur dari kepimpinan parti mengenai peranan Anwar sebagai pemimpin Barisan Alternatif yang turut dianggotai oleh PAS.
"Contohnya, dalam mesyuarat biro politik minggu lalu, seorang pemimpin telah menuduh Anwar sebagai ejen CIA...katanya diberitahu oleh seorang diplomat! Ini sudah keterlaluan," tambahnya.
Manakala seorang lagi ahli politik dari Perlis mencerita pengalaman Pemuda PAS menganjurkan ceramah di negeri itu dua minggu selepas Anwar dibebaskan.
"Mereka menjemput (pemimpin Parti Keadilan Rakyat) Saifuddin Nasution dan (peguam Anwar) Zulkifli Nordin sebagai penceramah. Sambutannya amat menakjubkan. Tetapi selepas itu mereka ditegur oleh pemimpin-pemimpin kanan. Selepas itu, isu Anwar sudah menjadi satu taboo di sini," katanya.
Di pihak yang sama
Sementara itu, Naib Presiden Azizan Abdul Razak berkata, walaupun para perwakilan tidak akan dihalang untuk membangkitkan isu Anwar, tetapi secara peribadi beliau berpendapat ianya bukan lagi satu isu.
"Apa yang mengelirukan? Adalah jelas PAS menyokongnya kerana kita di pihak yang sama dalam memerangi rasuah dan unsur-unsur negatif yang lain," tambahnya.
Beliau juga menafikan terdapatnya pemimpin-pemimpin utama parti itu yang membuat kenyataan yang memperkecil-kecilkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Bila diberitahu yang beliau adalah salah seorang pemimpin yang didakwa berbuat demikian, Azizan melahirkan rasa terperanjat dan menyifatkannya sebagai satu fitnah.
"Ini pembohongan besar. Bagaimana mereka boleh menuduh sedemikian sedangkan saya cukup menghormati Anwar sebagai ahli politik dan sebagai kawan. Malah, saya mengenali beliau dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak kami menuntut di UK pada 1970-an.
"Mengapa kami mesti sukar untuk bekerjasama dengan Anwar sedangkan kami sering bekerjasama dengan Keadilan yang dipimpin oleh Wan Azizah," katanya.
Ditanya sama ada beliau ada mendengar mana-mana pemimpin lain dalam parti itu yang turut berbuat demikian, Azizan berkata: "Kita orang Islam. Ia bukanlah budaya kita untuk bercakap memburukkan orang lain. Apatah lagi terhadap rakan-rakan seperti Anwar."

