Wanita sedar wujud gerakan dan komplot yang ingin menjatuhkan kerajaan, termasuklah melalui campur tangan orang asing, kata Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Katanya, kerajaan perlu menentang sekeras-kerasnya gerakan atau komplot itu tanpa mengambil kira mereka dari kumpulan mana atau parti apa.

"Tugas ini tidak mudah. Ada kalanya keputusan yang tidak popular perlu dibuat demi menyelamatkan negara.

"Ketika ini, pengorbanan perlu dilakukan demi memastikan rakyat terus dapat menikmati kehidupan yang aman dan damai," kata Shahrizat dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Wanita Umno 2015.

Shahrizat juga berkata, keganasan tidak mengenal agama dan ia menjadi ancaman kepada semua, seolah-olah ia mengekori manusia di mana saja.

Katanya, keganasan itu semakin mengejutkan dengan pelbagai episod yang merencatkan peluang dan perancangan dunia untuk maju.

"Ambillah iktibar dengan apa yang berlaku di Iraq, Mesir, Paris, Syria, Yaman, Mali dan negara-negara lain.

"Demokrasi, hak asasi dan kebebasan yang dilaungkan beradun dendam dan bermatlamatkan peribadi akhirnya menjadi api meranap keindahan yang lahir dari penat jerih pejuang-pejuang negara terdahulu," katanya,

Justeru, kata Shahrizat, Wanita Umno menyokong tindakan keras Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menangani aktiviti keganasan dan ekstremisme.

"Wanita Umno mengucapkan syabas kepada Kementerian Dalam Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana bertindak tegas mengambil langkah pencegahan memusnahkan benih keganasan dan elemen ekstremisme," katanya.

Dugaan bukan asing

Shahrizat dalam ucapannya turut menegaskan sokongan setia sayap Wanita kepada Najib.

Katanya, Umno menghadapi pelbagai cabaran sejak penubuhannya dan ujian yang dihadapi parti itu sekarang bukan sesuatu yang asing kepada ahli-ahlinya yang setia.

"Bermula sejak zaman awal penubuhannya, Umno sering diuji seperti pengunduran pengasasnya Datuk Onn Jaafar.

"Umno pernah diduga dengan pengharaman Umno pada tahun 1998. Peletakan jawatan Tun Musa Hitam sebagai timbalan perdana menteri semasa beliau memegang jawatan timbalan presiden Umno.

"Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi timbalan presiden Umno oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998 dan pelbagai lagi peristiwa kelabu dan hitam yang dilalui oleh Umno.

"Kala ini kita sedang melalui saat-saat getir umpama langit akan runtuh, bumi akan rebah, sungai akan kering, laut akan kontang.

"Namun begitu acap kali kita menghadapi cabaran, dugaan, tentangan, tragedi, trauma, kita masih bersatu menghadapinya," kata Shahrizat.

Sokong Najib

Shahrizat seterusnya melaungkan:" Kita sokong Presiden kita. Kita Sokong pemimpin-pemimpin kita."

Beliau percaya Umno pada akhirnya mampu keluar daripada kemelut dan krisis dengan mencapai kejayaan yang membanggakan.

"Mentaati pemimpin menjadi kekuatan yang dicemburui mereka yang ingin memusnahkan parti yang subur dengan pejuang bangsa yang berjiwa kental.

"Kita mesti memberi kekuatan kepada Presiden kita supaya pembangkang di luar atau dalam parti tidak dapat melemahkan presiden kita.

"Kita ibu yang menjadi tulang belakang parti," kata Shahrizat.

Shahrizat seterusnya menyeru perwakilan bangun melaungkan sokongan kepada Najib.

"Berkat sokongan kita semua, saya yakin Najib mampu untuk mengetuai Umno dan membawa kepada kejayaan BN untuk PRU (pilihan raya umum) nanti.

"Maka dengan itu, ikut laungan saya puan-puan dan tuan-tuan, bahawa kita menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden Umno dan jangan sesiapa berkeinginnan melemahkan presiden kita.

"Hidup Umno, Hidup Melayu, Hidup bumiputera, Hidup Wanita, Hidup Datuk Seri Najib," laung Shahrizat bersama-sama perwakilan di bawah pentas.

Perwakilan yang menyaksikan ucapan dasar Shahrizat di depan skrin besar di luar Dewan turut bangun lalu melaung dengan kuat bersama-sama.