Pertemuan kontroversi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan 'puteri Sulu' Jacel Kiram dibangkitkan kembali dalam perhimpunan agung Puteri Umno hari ini.

Ketua sayap itu Mas Ermieyati Samsudin mendakwa pembangkang adalah musuh dalam selimut yang berpura-pura menangis apabila kerajaan mahu mengambil tindakan.

“Mereka ini pelakon,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di ibu negara hari ini.

Mas Ermieyati ( gambar ) juga berkata rakyat Malaysia tidak harus melupakan bagaimana pasukan keselamatan yang melindungi negara daripada penceroboh “dihina”.

Nurul pada 3 Disember berkata beliau begitu sebak sehingga air matanya menitis ketika menerangkan kepada Dewan Rakyat berhubung pertemuannya dengan Jacel.

Bapa Jacel, Jamalul Kiram III, mengisytiharkan dirinya sultan Sulu dan menyerang Sabah pada 2013.

"Saya menangis untuk rakyat Malaysia," kata anggota parlimen Pantai itu ketika ditemui di bangunan parlimen.

Melalui undi blok, Dewan Rakyat meluluskan usul mengheret Nurul ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Parlimen kerana berjumpa dengan Jacel.