Umno perlu memenangi pilihan raya umum ke-14 dengan kekuatan sendiri dan tidak bergantung kepada kelemahan parti pembangkang, kata wakil Pemuda Umno Kelantan.

Ketua Pemuda Umno bahagian Machang, Eriandi Ismail tidak menolak isu perpaduan parti kini menjadi satu isu besar Umno sehingga disebut dalam taklimat presiden semalam dan disentuh dalam ucapan dasar Ketua Pemuda Umno hari ini.
Beliau berkata ada sebilangan pemimpin menganggap bahawa isu perpaduan sebagai satu isu yang kecil dengan memberi perhatian lebih kepada perpecahan dalaman parti pembangkang.
"Jangan jadi seperti kisah Pak Pandir, bila anak dia meninggal, dia bercakap kepada isterinya yang menangis 'janganlah sedih, anak jiran kita pun meninggal juga'," katanya ketika membahaskan usul terima kasih atas ucapan dasar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2015 hari ini.
Justeru, Eriandi berkata para pemimpin parti di setiap peringkat perlu menilai semula pendekatan politik masing-masing dan mencari jalan untuk memperkuatkan muafakat antara anggota parti.
"Hanya dengan parti yang kuat, program-program yang dirancang dapat berjalan lancar," katanya.
Dalam perbahasan yang diselang-seli dengan loghat Kelantan, Eriandi turut mengingatkan perwakilan Pemuda Umno supaya tidak mengikut sifat 'keluk-kelik' (cakap tak serupa bikin) seperti yang diamalkan parti PAS.
"Jangan jadi serupa PAS, hari ini dia cakap boleh bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional dalam menyampaikan bantuan banjir, pada hari yang sama juga dia kutuk kita.
"Sifat seperti ini yang perlu sangat kita elak. Kita mesti konsisten dalam polisi, tak boleh kita goyah terhadap apa jua polisi kita iaitu memartabatkan agama, bangsa dan tanah air," kata beliau.

- Bernama