Pemilihan bagi Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang berlangsung di Dewan Tow Boo Keong Ipoh dan keputusannya dijangka diketahui kira-kira jam 10 malam ini.

Jawatan presiden dimenangi oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail tanpa bertanding.

Pertandingan jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya Dr Syed Husin Ali dengan Abdul Rahman Othman (ahli MPT).

Manakala enam calon bertanding bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden, termasuk penyandangnya Azmin Ali dan Syeikh Azmi Ahmad yang dicabar oleh empat muka baru.

Mereka ialah Sivarasa Rasiah, N Gobalakrishnan, Abdul Rahman Yusof dan Dr Lee Boon Chye. Manakala pertandingan 20 jawatan MPT pula disertai oleh 53 calon.

Sebelum ini Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ucapan ringkas mengucap kepada para perwakilan selamat bersidang.

Sementara itu, Ketua Wanita Parti Rakyat Malaysia (PKR) Fuziah Salleh berjaya mengekalkan jawatannya selepas berjaya menewaskan pencabarnya, Animah Ferrar dengan majoriti 63 undi.

Fuziah mendapat 141 undi manakala Aminah memperolehi 78 undi. Irene Fernandez pula menarik diri untuk memberi kemenangan kepada Zainon Jaafar. Seorang lagi calon, Zuraida Kamaruddin juga menarik diri sebelum pemilihan.

Tarik diri

Bagi jawatan Naib Ketua pula, tiga calon Rohani Bakar, Rodziah Ismail dan Zuraid Kamaruddin menang tanpa bertanding selepas calon keempat, Maznah Abdul Aziz menarik diri sebelum pemilihan.

Manakala Dr Zaliha Mustapa memperolehi undi tertinggi (181) untuk mendahulu 20 Exco Wanita yang terpilih kali ini. Ini diikuti oleh Haniza Mohd Talha (172), Suzana Manja Ibrahim (169), Hajah Hasnah Yahya (162), Salma Ismail (159) dan Dasimah Sainuddin (159).

Yang lain ialah Dr Daroyah Alwi, Aminah Abdullah, Aisah Lamsah, Rohani Bakar, Norsham Abu Samah, Shaira Shameem, Roesnah Hj Mohd Hashim, Mahani Masban, Rusmah Suli dan Norain Sirun, Habibah Hariri, Zariny Zainol, Rahanah Ismail dan Mariam Sulaiman.

Bagi Angkatan Muda PKR, kesemua penyandang jawatan ketua, timbalan ketua dan naib ketua mengekalkan jawatan masing-masing tanpa bertanding Ezam Mohd Noor (ketua), Faizal Sanusi (Timbalan Ketua) dan tiga Naib Ketua Shamsul Iskandar Mohd Akin, S. Manikavasagam dan Sharifah Shahidah.

Manakala Nurin Aina Abdullah mendapat undi tertinggi (316) bagi mengetuai senarai 20 calon exco Angkatan Muda. Ini diikuti oleh Mohamad Faris Musa (314), Wan Mohd Anies Wan Mohd Adnan (294), Mohamad Zamakh Sari Ibrahim (294), Khairul Anuar Ahmad Zainudin @ Jonah (292), Tan Seng Toh (283), Norazman Mat Amin (272) dan S Jayathas (271).

Yang lain ialah Latheefa Beebi Koya, Shamsul Kamar Ani, Rezal Huzairi Md Zaki, Azwandin Hamzah, Faisal Mustaffa, Aliza Sharina Ahmad, Zamil Ibrahim, Syed Nazarudin Syed Aziz, Zarerah Hanim Md Zaki, Muhammad Gaddafi Kamal, Saiful Izham Ramli dan Mohd Zukri Aksah.