Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesan Najib untuk Muhyiddin, Shafie: Bantu presiden

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditegur secara terbuka - namun berlapik - oleh Datuk Seri Najib Razak supaya membantunya sebagai Presiden Umno.

Jika terdapat sebarang perbezaan pendapat atau mempunyai cadangan, Najib berkata, ia mersti dibuat mengikut saluran yang betul.

Muhyiddin adalah timbalan presiden Umno, manakala Mohd Shafie dipilih perwakilan sebagai naib presiden parti itu.

Najib mengingatkan, hanya dengan memahami tugas dan tanggungjawab yang diberikan, Umno akan kembali ke landasan asalnya.

"Dimaktubkan dalam perlembagaan parti, amanah besar dan tanggungjawab yang terpikul di bahu seorang presiden, melalui fasal 9.8.1, adalah menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti.

"Manakala fasal 9.8.2, dengan terang secara harfiahnya memperincikan tanggungjawab dan amanah utama bagi seorang timbalan presiden itu, fasal itu menyebut, timbalan presiden membantu tugas presiden," kata Najib dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ketika ucapan itu disampaikan, Muhyiddin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal turut berada di dalam Dewan Merdeka bersama 2,654 perwakilan dari 191 bahagian Umno seluruh negara.

Turut hadir bekas presiden dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata Najib lagi, fasal 9.8.3 perlembagaan parti itu pula menyatakan, tanggungjawab dan amanah naib presiden dinyatakan sebagai "kerjanya membantu tugas presiden".

"Merujuk kepada ahli pula, fasal 6.1.1 dan 6.2.1, antara intipatinya menyatakan tanggungjawab dan hak ahli Umno ialah memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuannya serta berhak mengemukakan pendapat kepada parti, tetapi mestilah melalui saluran yang betul," kata Najib disambut sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan di dalam dewan sambil melaungkan ‘Hidup Najib’.

Dengan memainkan peranan masing-masing, kata Najib, ia menjadi rahsia dan formula membawa kepada kestabilan parti.

"Itulah rahsia dan formula sesebuah parti politik seperti kita, yang bertahan dengan jayanya sehingga kini, mudah-mudahan sampai bila-bila," katanya.

Muhyiddin, Shafie dan Dr Mahathir sebelum ini aktif mengkritik Najib membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS