Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata meskipun beliau bersetuju dengan ucapan dasar Datuk Seri Najib Razak hari ini, perdana menteri tidak sepatutnya mengambil nama daripada kejayaan yang dibuat parti.

Kata Dr Mahathir, Umno memang sudah terbukti berjaya memajukan Malaysia, namun ia bukanlah kerana presiden Umno sekarang.

“Saya setuju dengan ucapannya (Najib) bahawa Umno telah berjaya majukan negara kita ini sehingga ada doktor pakar (misalnya). Tapi itu (kejayaan) Umno, bukan (kejayaan) pemimpin Umno. Itu Umno.

“Umno berjaya tapi janganlah ambil kredit kejayaan Umno itu seolah-olah ia kejayaan kita sendiri. Saya pun tak pernah ambil kredit,” katanya kepada pemberita selepas mendengar ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Mahathir merupakan perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia, selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal ( gambar ) berkata parti Melayu itu kini hanya menumpukan kepada mengukuhkan kedudukan presiden tetapi tidak kepada Umno sendiri.

"Dalam kita membantu presiden parti, kerajaan, ada banyak bentuk (bantuan). Satu, dalam melaksanakan projek. Satu lagi, bantuan pelbagai kemudahan asas.

“Ada juga bantuan kepada presiden parti berbentuk nasihat, pandangan, supaya kita dapat kukuhkan parti kita,” katanya,

Beliau berkata kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Shafie berkata demikian ketika mengulas ucapan dasar presiden Datuk Seri Najib Razak pada pembukaan Perhimpunan Agung Umno 2015 pagi ini, yang turut menyentuh mengenai peranan naib presiden berdasarkan perlembagaan parti.

Bekas menteri kemajuan luar bandar dan desa itu berkata beliau telah memainkan peranannya sebagai naib presiden dalam membantu presiden dan juga parti.

Shafie dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada kabinet Najib selepas lantang mengkritik dalam isu 1MDB dan kemasukan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi perdana menteri.