Semua cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) sepatutnya dihantar terus kepada Yang di-Pertuan Agong, kata bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Param Cumaraswamy ( gambar ).

Menurut beliau, langkah itu perlu melangkaui perdana menteri bagi memastikan ketelusan dan kebebasan perundangan terpelihara, terutama ketika kontroversi berhubung kenaikan pangkat bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus didedahkan.

Katanya, walaupun SPK ditubuhkan di Malaysia pada 2009 sebagai mekanisme bebas, undang-undangnya tidak menyatakan bahawa perdana menteri mesti menerima nama yang dicadangkan suruhanjaya berkenaan untuk dipersembah kepada Agong sebelum sesuatu pelantikan dibuat.

"Dengan kontroversi berhubung kenaikan pangkat Hishamudin, kebebasan perundangan akan lebih terjamin jika nama dicadangkan SPK diserahkan terus kepada Agong dan bukan perdana menteri.

"Tetapi tentulah ia memerlukan pindaan perlembagaan," katanya dalam ucapan disampaikan sempena persidangan anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Bercakap kepada media kemudian, Param menegaskan orang awam perlu tahu bagaimana pelantikan dan kenaikan pangkat pegawai perundangan dibuat.

Mengikut sistem sedia ada, katanya, tidak jelas sama ada perdana menteri terikat untuk menerima cadangan dibuat SPK atau dia memiliki penasihat lain untuk memberikan pandangan sendiri.

[Baca berita asal]