Salleh: Najib bukan pemimpin 'masuk bakul angkat sendiri'

   

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan pemimpin yang bersikap 'masuk bakul angkat sendiri' apabila mengaitkan pelbagai kejayaan orang Melayu dengan Umno, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pelbagai kisah kejayaan yang dikongsi oleh Najib semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2015 hari ini adalah fakta yang tidak dapat dinafikan sama sekali.

Menurut Salleh, yang juga ketua Umno bahagian Kota Belud, pemimpin dan kerajaan sememangnya tidak boleh dipisahkan bagi setiap kejayaan yang dilakar sama ada oleh sesuatu kaum atau negara.

"Pada saya presiden (Najib) tidak ada mengambil kredit daripada kejayaan orang Melayu. Dia menyatakan dengan jelas bahawa sejak merdeka kejayaan yang dicapai adalah kejayaan parti Umno," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Wanita Umno semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa Najib tidak boleh mengambil kredit daripada kejayaan Umno memajukan negara sejak merdeka.

Dr Mahathir ketika ditemui selepas perasmian Perhimpunan Agung Umno 2015 berkata: "Itu (kejayaan) Umno, bukan pemimpin Umno.

"Umno berjaya tapi janganlah ambil kredit kejayaan Umno itu seolah-olah itu kejayaan kita sendiri. Saya pun tidak pernah ambil kredit," katanya.

Menjelas lanjut mengenai kenyataan bekas perdana menteri itu, Salleh berkata Dr Mahathir turut menikmati pujian sepanjang menerajui Umno.

"Tidak dinafikan bahawa ada kemajuan dilakukan pada zaman Mahathir, banyak pihak memuji beliau kerana biasanya kita tidak boleh pisahkan antara kerajaan dengan pemimpin," katanya.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In