'Pemilihan, pertukaran presiden harus ikut proses demokrasi'
Pemilihan dan pertukaran presiden Umno harus dibuat mengikut proses demokrasi dan bukannya mengikut kehendak atau telunjuk seseorang individu, kata wakil Umno Perak.
Ketua Umno bahagian Gopeng Senator Datuk Hamzah Mohd Kassim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberi mandat menerajui parti secara demokratik dalam pemilihan agung 2013, melibatkan kira-kira 146,000 anggota di peringkat bahagian berbanding hanya lebih 2,000 perwakilan sebelum ini.
Hak untuk menukar presiden Umno harus diberikan kepada majoriti anggota Umno dan bukan mengikut telunjuk seorang mantan, katanya semasa membahaskan usul ucapan dasar presiden di perhimpunan agung Umno 2015 di PWTC.
Walaupun tidak menyebut nama, mantan yang beliau maksudkan itu difahami oleh kebanyakan anggota parti sebagai merujuk kepada bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sejak kebekalangan ini mengkritik Najib dan meminta beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
"Beliau (Najib) sebagai presiden begitu terbuka untuk memberikan kepuasan kepada ahli parti untuk memilih pemimpin, jadi jangan disebut lagi di luar sana yang mengatakan presiden mengongkong ahli parti," katanya.
Semasa berucap, Hamzah menerima bantahan daripada sebilangan perwakilan dalam Dewan Merdeka apabila beliau membangkitkan mengenai tindakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap di satu majlis Umno di Kelab Sultan Sulaiman Isnin lepas.
Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin terpaksa campur tangan menenangkan keadaan bila ketua Umno bahagian Gopeng itu tetap meneruskan ucapannya mengenai perkara itu.
Muhyiddin menghadiri satu acara yang dinamakan "Majlis Bersama Timbalan Presiden Umno" di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru di sini pada 7 Disember di ambang perhimpunan agung Umno 2015.
Perbuatan beliau itu telah dianggap sebagai mengadakan persidangan dalam persidangan dalam Umno oleh beberapa pemimpin parti.
Yang turut hadir di Kelab Sultan Sulaiman pada malam itu ialah Dr Mahathir dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
- Bernama

