Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hamas tidak merestui IS, kata Meshaal
Diterbitkan:  Dec 11, 2015 6:00 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Hamas tidak merestui kumpulan militan IS, juga dikenali sebagai Daesh, serta tindakan ekstremisnya, kata ketua Biro Politik (Politburo) pergerakan pejuang Palestin itu, Khalid Meshaal.

Sambil meminta agar Hamas tidak disamakan dengan IS, Meshaal berkata perjuangan rakyat Palestin berbeza sepenuhnya daripada agenda kumpulan pelampau itu.

"Ada perbezaan besar antara keganasan dengan perjuangan. Keganasan yang melibatkan pembunuhan secara membuta tuli, tanpa mengira keimanan seseorang, adalah berbeza sepenuhnya dengan perjuangan di Palestin.

"Keganasan seperti itu perlu dikutuk dan kami tidak menerimanya. Kami menganggap perjuangan di tanah air kami sebagai hak semula jadi rakyat kami," katanya selepas menyampaikan ceramah dalam siri syarahan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), di ibunegara semalam.

Ceramah itu dianjurkan sebagai acara sampingan sempena kunjungan Meshaal ke Malaysia untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2015 dari 8 hingga 12 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mengulas tentang seruan agar proses damai antara Palestin dan Israel di sambung semula, pemimpin Hamas itu berkata rundingan mengenai perkara itu, yang diadakan sejak beberapa dekad lepas, tidak mempunyai makna kerana tiadanya keseimbangan kuasa antara dua pihak berkenaan (Israel dan Palestin).

Bercakap melalui jurubahasa, beliau menegaskan bahawa oleh kerana tidak terdapat kesungguhan politik dalam kalangan kuasa besar, rakyat Palestin tidak mempunyai pilihan, selain bergantung pada diri mereka sendiri untuk mempertahankan hak mereka.

Sambil merujuk kepada kejayaan kuasa besar menamatkan sistem apartheid di Afrika, beliau berkata pihak itu boleh mengenakan tekanan secara politik dan ketenteraan terhadap Israel agar rejim itu menamatkan pendudukannya.

"Sekiranya opsyen ini tidak berhasil, opsyen kedua, juga yang merupakan satu-satunya opsyen yang ada bagi kami, ialah meneruskan perjuangan dan penentangan kami serta melipatgandakannya dengan bantuan seluruh umat Islam," katanya.

Pada Khamis, media antarabangsa melaporkan bahawa ketika berucap di hadapan Presiden Israel, Reuven Rivlin yang melawat Amerika, Presiden Barack Obama menyeru agar usaha terus dilakukan bagi menjayakan proses damai antara Israel dan Palestin.

Obama dipetik sebagai berkata, Israel dan Palestin perlu mencari mekanisme yang membolehkan dialog diadakan semula hingga membawa kepada tercapainya perdamaian.

Menyentuh tentang sokongan badan antarabangsa terhadap perjuangan Palestin seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, Meshaal berkata Palestin tidak boleh bergantung penuh pada pertubuhan seperti itu.

"Kami bergantung pada usaha mengembalikan hak kami untuk berjuang dengan sendiri kerana inilah cara yang betul. Di samping itu, kami juga meminta semua badan antarabangsa dan serantau supaya menyokong perjuangan rakyat Palestin," katanya.

Beliau berkata, ini kerana perjuangan rakyat Palestin mempunyai dimensi Arab dan Islam serta kemanusiaan antarabangsa, selain dimensi dalaman berkaitan perjuangan rakyat Palestin.

"Bagaimanapun, kami tidak pernah putus berjuang. Kami tidak menunggu pihak lain. Kami melangkah ke hadapan sambil berharap orang lain akan menyokong kami," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS